HomeUtamaPapar dua harga ayam, peniaga berdepan tindakan

Papar dua harga ayam, peniaga berdepan tindakan

Read Time:1 Minute, 22 Second

LABUAN: Gara-gara memaparkan dua tanda harga berlainan bagi ayam di sebuah pasar mini di Labuan membawa padah apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan (WP) Labuan mengambil tindakan tegas terhadap premis berkenaan.

Kes berkenaan dikesan selepas KPDN WP Labuan menerima aduan daripada pengguna berhubung paparan harga barangan di premis terbabit.

Pengarah KPDN WP Labuan, Junaidah Arbain berkata, susulan aduan itu, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN menjalankan pemeriksaan di pasar mini berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua tanda harga berbeza dipaparkan pada bahagian ayam yang dijual kepada pengguna.

“Keadaan itu didapati boleh mengelirukan pengguna mengenai harga sebenar ayam berkenaan, sekali gus mendorong KPDN mengambil tindakan bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Tindakan kes diambil mengikut Seksyen 12(1)(a), Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599],” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penguatkuasaan akan terus dilakukan bagi memastikan peniaga memberikan maklumat harga yang tepat dan tidak mengelirukan kepada pengguna.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Junaidah, KPDN WP Labuan komited mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan semua pihak mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan perdagangan dan perlindungan pengguna.

Katanya, aspek ketelusan maklumat harga turut diberi perhatian bagi memastikan pengguna tidak terkeliru ketika membuat keputusan pembelian.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat atau aduan kepada KPDN sekiranya mengesan sebarang salah laku perdagangan.

“Kerjasama orang awam amat diperlukan bagi membantu KPDN memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta melindungi kepentingan pengguna,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPDN Labuan sita 100 liter petrol tanpa permit bernilai RM5,377

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular