Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang sami tokong berusia 81 tahun dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah mencabul seorang wanita, dua tahun lalu.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Ah Kau @ Lim Ho Cheng selepas mendapati tertuduh bersalah pada akhir perbicaraan penuh.
Lim didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan wanita berusia 31 tahun itu di sebuah tokong di sini, kira-kira jam 10 pagi pada 29 Februari 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil enam saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tertuduh berkuat kuasa dari tarikh sabitan iaitu pada Rabu (12 Ogos).
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan tertuduh di Mahkamah Tinggi.
Jaminan tertuduh turut dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM7,000, manakala syarat jaminan lain dikekalkan.
Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan Muhammad Munir Khan dalam hujahnya memohon hukuman berbentuk pencegahan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan itu memandangkan tertuduh merupakan seorang sami tokong dan individu yang dipercayai serta dihormati masyarakat.
Katanya, pengadu datang kepadanya untuk mendapatkan rawatan kerohanian, namun tertuduh menyalahgunakan kepercayaan itu untuk melakukan kesalahan seksual.
“Seseorang yang diberikan kepercayaan untuk memberi bimbingan kerohanian sepatutnya memberikan perlindungan dan menjaga maruah individu yang mendapatkan bantuannya, bukannya mengambil kesempatan terhadap kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Penyalahgunaan kepercayaan agama sedemikian wajar dikenakan hukuman penjara yang bersifat pencegahan,” katanya.



