Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Dua wanita yang ditahan baru-baru ini berhubung kes sindiket ‘bomoh’, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan pakat jahat untuk menipu tiga mangsa.
Warganegara Malaysia, Hee Nyin Fung, 48, dan warga China, Li Li, 38, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan di hadapan Hakim Zaini Fishir @ Fisal dan satu lagi pertuduhan di hadapan Hakim Monica Linsua.
Mereka didakwa melakukan pakat jenayah dengan bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, iaitu menipu tiga mangsa yang kesemuanya wanita tempatan, yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menipu seorang wanita berusia 51 tahun kira-kira jam 7.30 pagi pada 4 Februari lalu di Pasar Besar Kota Kinabalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi mangsa berusia 69 tahun, kira-kira jam 11.30 pagi pada 19 Julai lalu di Pasar Minggu Jalan Gaya, dekat sini.
Satu lagi pertuduhan membabitkan seorang mangsa berusia 45 tahun kira-kira jam 8 pagi pada 3 Februari lalu di Pasar Besar Pekan Manggatal, dekat sini.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 1 Oktober depan untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan deposit RM2,000 bagi setiap pertuduhan serta dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh melapor diri di balai polis terdekat sekali sebulan; pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada Mahkamah; dan tertuduh tidak boleh mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Peguam Batholomew Jingulam mewakili Hee, manakala Muhamad Amirul Amin mewakili Li.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadzri Azham Zainudin dan Nurul Shaferrah Mad Iskim, masing-masing bagi kes di hadapan Hakim Zaini dan Hakim Monica.
Pada Khamis, media melaporkan polis menumpaskan sindiket ‘bomoh’ yang dipercayai memperdaya mangsa dengan menawarkan khidmat membuang sial dan menilik nasib sehingga menyebabkan kerugian keseluruhan kira-kira RM600,000.
Seramai 12 individu termasuk tujuh wanita warga China ditahan menerusi beberapa serbuan di Kota Kinabalu, Penampang, Keningau dan Kota Belud.
Menurut polis, sindiket yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini menggunakan modus operandi dengan mendekati mangsa sebelum menawarkan bantuan berkaitan ubat tradisional, rawatan penyakit atau upacara sembahyang untuk membuang sial.
Mangsa kemudian dipujuk menyerahkan wang tunai atau barang kemas kononnya untuk tujuan doa, jampi atau sembahyang sebelum wang atau barang kemas itu dilarikan atau ditukar dengan barangan lain.



