Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh tenaga kerja kejururawatan menerusi tiga strategi utama bagi menangani kekurangan 10,557 jururawat di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu merangkumi peningkatan pengeluaran graduan, perluasan laluan kerjaya serta pengambilan terus dan autonomi dalam pengurusan perjawatan.
Katanya, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan keperluan tenaga kerja kejururawatan dapat dipenuhi secara berperingkat, selain mengurangkan beban petugas kesihatan di fasiliti seluruh negara.
“Daripada 73,281 perjawatan Jururawat Gred U5, terdapat kekosongan sebanyak 10,557 ketika ini.
“Kita sedar dan insaf mengenai beban kerja yang ditanggung petugas kesihatan akibat kekurangan kakitangan. Namun isu ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat kerana melibatkan pelbagai faktor dan memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2026 Zon Sabah di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Menurut Dzulkefly, bagi meningkatkan pengeluaran tenaga baharu, pengambilan jururawat pelatih telah ditingkatkan kepada 3,000 orang setahun bermula 2025.
KKM turut menyasarkan untuk menyumberluarkan sehingga 2,000 pelatih setahun ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Selain itu, empat cawangan ILKKM di Kuantan, Kuala Terengganu, Muar dan Pulau Pinang akan dibuka semula menjelang Oktober 2027, dengan tambahan kapasiti kira-kira 500 pelatih.
Langkah itu akan menjadikan kapasiti keseluruhan program Diploma Kejururawatan meningkat kepada 5,500 pelatih setahun.
Bagi strategi memperluas laluan kerjaya, KKM akan memulakan 15 Program On-The-Job Training (OJT) pada September ini bagi membolehkan petugas meningkatkan kepakaran tanpa perlu meninggalkan tempat bertugas untuk tempoh yang lama.
KKM turut memperluas laluan Jururawat Masyarakat untuk menjadi jururawat menerusi Diploma Peralihan.
Sementara itu, strategi pengambilan terus diperkukuh selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan pengecualian Lantikan Kontrak Interim.
Dzulkefly berkata, langkah itu membolehkan semua graduan Diploma Kejururawatan ILKKM yang lulus dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia diserap terus ke jawatan tetap.
“Sejak 9 Julai 2026, KKM juga telah diberikan kuasa autonomi untuk menguruskan perjawatan bagi mengelakkan birokrasi, sekali gus memastikan graduan ditempatkan terus di lapangan,” katanya.
Dalam masa sama, KKM melaksanakan pendekatan Integrated Clinical Management Care yang melibatkan perkongsian kepakaran dan tenaga jururawat antara klinik kesihatan dan hospital.
Menurutnya, pendekatan itu membantu mengoptimumkan tenaga kerja sedia ada sementara usaha meningkatkan jumlah jururawat dilaksanakan.
KKM turut memberi perhatian terhadap kebajikan petugas kesihatan, termasuk cadangan menyediakan kemudahan taska di fasiliti kesihatan bagi membantu petugas yang mempunyai anak kecil menjalankan tugas dengan lebih tenang dan produktif.
Sementara itu, ILKKM berjaya melahirkan 6,987 graduan pada 2026, termasuk 924 graduan Zon Sabah yang menerima skrol pada istiadat konvokesyen hari ini.
Istiadat itu turut dihubungkan secara langsung dengan 5,117 graduan di Zon Semenanjung dan 946 graduan di Zon Sarawak.
Pada istiadat berkenaan, graduan terbaik diraikan menerusi Anugerah Perdana yang diterima Alden Ker Ming Vui, graduan Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan yang kini bertugas di Hospital Sungai Buloh.
Turut disampaikan Anugerah Emas Cemerlang Akademik dan Anugerah Emas Cemerlang Kokurikulum, selain dua anugerah baharu iaitu Anugerah Khas Penyelidik Terbaik dan Anugerah Khas Kepimpinan Terbaik.
Bertemakan “Graduan ILKKM Tonggak Reformasi Kesihatan MADANI”, konvokesyen itu mencerminkan komitmen KKM untuk melahirkan tenaga profesional kesihatan yang berkualiti, berkemahiran dan mampu menyokong keperluan sistem kesihatan negara.
Dzulkefly turut menyeru semua graduan supaya menjaga maruah profesion dan melaksanakan amanah dengan penuh ihsan ketika memulakan perkhidmatan.
Beliau berkata, KKM akan terus memperkukuh sumber tenaga kesihatan bagi memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, terbaik dan inklusif.



