HomeUtamaDua PPS dibuka, lokasi kebakaran diisytihar kawasan bencana

Dua PPS dibuka, lokasi kebakaran diisytihar kawasan bencana

Read Time:1 Minute, 30 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU :  Dua pusat pemindahan sementara dibuka, iaitu Dewan Kampung Likas dan Dewan Damai bagi menempatkan lebih 200 mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Lok Buta di Numbak, awal pagi hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata ia bagi memudahkan pendaftaran dan koordinasi kepada semua mangsa yang terlibat, sekali gus memastikan sumbangan dapat disalurkan dengan lebih teratur.

Beliau berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga telah mengisytiharkan kawasan berkenaan sebagai kawasan bencana.

“Saya juga menekankan tentang perlunya mengenal pasti pelajar-pelajar yang terlibat kerana kita tidak mahu kebakaran ini menyebabkan proses pembelajaran mereka terhenti,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata beliau akan menyalurkan maklumat kepada Kementerian Pendidikan bagi memastikan pelajar sekolah mahupun penuntut Institusi Pengajian Tinggi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan.

Beliau juga turut meminta pihak DBKK bersama agensi yang berkaitan mengadakan mesyuarat untuk sebarang cadangan berkenaan kawasan yang dilanda bencana itu.

“Kita akan ada mesyuarat Jawatankuasa Induk Perjanjian Malaysia (MA63) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan juga Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) dijangka hadir.

Mungkin ketika itu bolehlah Mayor DBKK berikan taklimat kepada kedua-dua pemimpin untuk mempertimbangkan apa yang perlu kita buat untuk kawasan ini,” katanya.

Mustapha berkata pihaknya juga akan memberikan bantuan awal kepada tiga ahli keluarga yang terkorban dalam kejadian pada 1.40 pagi hari ini.

Dalam kejadian itu lebih 200 rumah musnah mengorbankan tiga kanak-kanak, termasuk dua beradik.

Mangsa yang terkorban ialah Nana Abdullah, 4, dan abangnya Mohd Asrul Abdullah, 6, serta sepupu mangsa Nurfarahdilah Mohd Tajihah, 8. — BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Terus pupuk semangat patriotisme, perpaduan dan harmoni

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular