HomeUtamaTerus pupuk semangat patriotisme, perpaduan dan harmoni

Terus pupuk semangat patriotisme, perpaduan dan harmoni

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah, khususnya generasi muda, diseru agar terus memupuk semangat patriotisme, mempertahankan perpaduan serta menjaga keharmonian dalam kepelbagaian bangsa dan agama di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata perpaduan kaum merupakan kunci kekuatan yang perlu terus dipertahankan, terutama dalam menghadapi era kemodenan dan perubahan semasa.

“Perpaduan kaum adalah kunci kekuatan kita yang perlu terus dipertahankan, terutama dalam era kemodenan masa kini,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini.

Hajij berkata sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan bersama pada 31 Ogos, bukan sekadar untuk diingati tetapi perlu dihayati secara mendalam bagi memupuk semangat patriotik serta menghargai pengorbanan para pejuang tanah air yang menuntut kemerdekaan.

“Saya percaya dua sambutan penting ini mampu menjadi titik penyatuan seluruh rakyat Malaysia di Sabah yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Menurutnya, tema Hari Kebangsaan tahun ini, Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina sebuah negara yang maju, inklusif, dan harmoni, di samping memastikan nikmat kemakmuran negara dikongsi secara adil oleh seluruh rakyat.

“Manakala Hari Sabah yang bertemakan Sabah Tanah Airku, mencerminkan rasa cinta, bangga dan kesetiaan rakyat kepada negeri ini.

“Tema ini juga membawa mesej bahawa pentingnya semangat kebersamaan dan rasa kekitaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum bagi memelihara keharmonian, yang akan menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan negeri,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini agar mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah baik di rumah, pejabat, kenderaan mahu pun premis perniagaan masing-masing, sebagai usaha memupuk semangat patriotik dan cintakan negara.

“Marilah kita terus bersatu menolak anasir yang cuba memecah-belahkan keharmonian rakyat di negeri ini. Semoga sambutan ini menjadi wadah untuk kita terus memperkukuh jati diri, memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian demi kemajuan negeri ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Imej hati, angka ’69’ lakar langit Putrajaya menerusi aerobatik ‘melukis senja’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular