HomeUtamaKebakaran Kg. Numbak: 202 rumah terjejas, 134 mangsa dipindahkan

Kebakaran Kg. Numbak: 202 rumah terjejas, 134 mangsa dipindahkan

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 202 rumah terjejas dalam kebakaran rumah atas air di Kampung Numbak di sini, awal pagi tadi, dengan 134 penduduk daripada 40 Ketua Isi Rumah (KIR) kini ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, setakat jam 4 petang, dua PPS beroperasi bagi menempatkan mangsa iaitu Dewan Serbaguna Likas dan Dewan Damai.

Daripada jumlah itu, 110 mangsa daripada 34 KIR ditempatkan di Dewan Serbaguna Likas, manakala 24 mangsa daripada enam KIR ditempatkan di Dewan Damai.

Kedua-dua PPS dibuka pada jam 10 pagi dan jumlah mangsa yang berdaftar masih meningkat.

Kebakaran yang dilaporkan pada jam 1.40 pagi itu turut mengorbankan tiga kanak-kanak, dengan rekod JPBN menunjukkan tiga kematian akibat bencana berkenaan di Kampung Numbak.

Jabatan Kebajikan dan Perkhidmatan Am Sabah mengesahkan ketiga-tiga mangsa adalah warganegara Malaysia, iaitu Mohd Asrul Abdullah, 6; Nana Abdullah, 4; dan Nur Farah Bilah Mohd Tajah, 8.

Kebakaran membabitkan kawasan rumah setinggan atas air yang merangkumi Kampung Lok Buta, Kampung Lok Poring dan Kampung Sabang Lama, dengan kawasan terjejas dianggarkan berkeluasan 260 meter x 380 meter.

Operasi pemadaman membabitkan 44 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran, selain bantuan agensi lain.

Kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran, manakala operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul diteruskan.

JPBN memaklumkan, berdasarkan laporan lapangan, keadaan di Dewan Serbaguna Likas sesak berikutan proses pendaftaran mangsa yang sedang dijalankan.

Dewan Damai yang mempunyai kapasiti kira-kira 70 khemah atau lebih 100 keluarga turut dibuka sebagai PPS kedua.

Pengamatan awal turut mendapati sebahagian penghuni kawasan rumah setinggan berkenaan bukan penduduk tempatan.

Sehubungan itu, PPS disediakan untuk warga tempatan yang terjejas, manakala kawalan sedang dilaksanakan bagi memastikan tiada pembinaan struktur baharu di kawasan setinggan terbabit.

JPBN Sabah akan terus memantau perkembangan situasi, termasuk pendaftaran mangsa, keperluan di PPS serta operasi pascabencana dari semasa ke semasa.

RELATED ARTICLES
Utama

Projek Lebuhraya Pan Borneo Serusup – Pinturu (WP09) berjalan lancar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular