HomeUtamaPremis runcit dikompaun guna alat timbang tamat tempoh

Premis runcit dikompaun guna alat timbang tamat tempoh

Read Time:1 Minute, 15 Second

TAWAU: Sebuah premis runcit di sini dikenakan kompaun selepas didapati menggunakan alat timbang dan sukat yang gagal ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.

Kesalahan itu dikesan dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh dua pasukan Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau di sekitar daerah ini, hari ini.

Hasil pemeriksaan mendapati satu kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 membabitkan peniaga yang melanggar peraturan berkaitan penggunaan alat timbang dan sukat.

Di bawah peruntukan undang-undang berkenaan, individu yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh meningkat sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM100,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya.

Menurut KPDN Sabah, sebanyak 40 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) dikeluarkan kepada premis perniagaan yang diperiksa dalam operasi berkenaan.

KPDN Sabah berkata, secara keseluruhannya, pemeriksaan mendapati peniaga mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan KPDN, khususnya berkaitan penandaan harga serta penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.

Pemeriksaan ke atas stesen minyak di sekitar Tawau pula mendapati premis yang diperiksa telah menyediakan Peti dan Buku Log Lawatan KPDN serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“KPDN Tawau menegaskan bahawa pemeriksaan dan pemantauan dijalankan secara konsisten setiap hari dan akan terus dipertingkatkan, khususnya menjelang musim perayaan, bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil, telus dan mematuhi perundangan sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

RELATED ARTICLES
Utama

Kebakaran Kg. Numbak: 202 rumah terjejas, 134 mangsa dipindahkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular