HomeUtama"Great Show!" PM Anwar puji, hargai sambutan Hari Kebangsaan 2026

“Great Show!” PM Anwar puji, hargai sambutan Hari Kebangsaan 2026

Read Time:2 Minute, 4 Second

BERNAMA

PUTRAJAYA : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji dan menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dan rakyat yang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Great, great show! Alhamdulillah, good. Thank you very much (Persembahan yang hebat, amat hebat! Alhamdulillah, bagus. Terima kasih),” kata beliau ringkas ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di sini, hari ini.

Selesai acara penuh berwarna-warni dan semangat patriotik itu, Anwar turut meluangkan masa menyantuni rakyat yang hadir dengan semangat luar biasa memeriahkan sambutan itu dengan berjalan kaki lebih 500 meter di sekitar kawasan Dataran Putrajaya.

Beliau bersalaman dan beramah mesra dengan orang ramai, selain melayani permintaan mereka untuk bergambar, dalam suasana meriah yang menghimpunkan ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Seorang daripada kumpulan orang ramai itu, turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengembalikan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan semasa Amanat Perdana Hari Kebangsaan, semalam.

“Terima kasih Datuk Seri naikkan BUDI95,” kata lelaki itu.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat tiba pada Hari Kebangsaan yang berlangsung pada 8 pagi dan disambut oleh Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Komunikasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Sambutan yang bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” dimulakan dengan istiadat ketenteraan diikuti persembahan pentas dan perarakan warna-warni, yang menggambarkan aspirasi Malaysia MADANI sebagai sebuah negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menghormati kepelbagaian.

Acara perarakan dan perbarisan melibatkan penyertaan 10,819 peserta membabitkan 76 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias, 328 aset darat, laut dan udara serta 112 haiwan dalam perkhidmatan, selain 22 unit aset kenderaan elektrik (EV) serta diserikan dengan persembahan grafik manusia di teres.

Lebih 100,000 pengunjung hadir menyemarakkan semangat patriotisme dengan ada yang mula berkampung di Dataran Putrajaya sejak petang semalam selain ada juga awal pagi ini mula berpusu-pusu ke lokasi sambutan.

Semalam, Anwar ketika menyampaikan Amanat Perdana mengumumkan enam ikhtiar utama kerajaan untuk kesejahteraan rakyat, termasuk mengembalikan kelayakan asas BUDI95 kepada 300 liter sebulan, yang akan memanfaatkan lebih 16 juta pengguna RON95 bersubsidi.

Selain itu, Anwar berkata lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut akan menerima BUDI Diesel hingga 400 liter sebulan, yang berkuat kuasa 1 Sept ini.  BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Kematangan politik kunci kestabilan negara – Armizan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular