BERNAMA
PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan 2026 berlangsung lancar dengan kehadiran lebih 100,000 orang bagi memeriahkan acara berkenaan, sekali gus melebihi sasaran awal 80,000, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 berkata semua perancangan yang disusun berjalan dengan baik mengikut jadual, selain keadaan cuaca yang amat baik sepanjang sambutan.
“Alhamdulillah, segala perancangan kita berjalan dengan baik. Sempena sambutan Hari Kebangsaan, kita dapat menyaksikan lebih daripada 100,000 orang hadir tanpa apa-apa insiden yang tidak diingini.
“Saya ingin ambil kesempatan untuk ucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah datang, ada yang datang dari Sandakan, ada yang datang dari Johor Bahru, ada yang datang dari Jeli.
“Ramai yang datang dari seluruh pelosok negara untuk sama-sama menyambut hari yang sangat bermakna, satu tarikh yang cukup keramat, sambutan Hari Kebangsaan 2026 dan suasana hari ini sangat baik,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berangkat menyaksikan sambutan itu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Jemaah Menteri.
Fahmi berkata kelancaran sambutan itu hasil kerjasama semua pihak termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Mereka telah memantau dan mereka juga telah bersedia untuk melakukan pembenihan awan,” katanya.
Beliau berkata orang ramai yang masih berada di Putrajaya turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti selepas acara rasmi sambutan Hari Kebangsaan, termasuk melihat aset pertahanan negara yang dipamerkan di Anjung Floria dan menyertai Riuh Merdeka di Monumen Alaf Baru.
“Dan ada banyak ‘food truck’ yang telah disediakan. Bagi yang hadir juga boleh gunakan peluang ini untuk beriadah bersama keluarga,” katanya.
Fahmi berharap sambutan Hari Kebangsaan 2026 terus menyemarakkan rasa cinta rakyat terhadap negara dan tanah air.
“Sama-sama kita pertahankan perpaduan, sama-sama kita pertahankan negara Malaysia tercinta,” katanya.
Bertepatan dengan tema HKHM 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan tahun ini menekankan komitmen berterusan kerajaan dalam membina sebuah negara maju, harmoni dan sejahtera tanpa mengira latar belakang.
Acara perbarisan dan perarakan tahun ini melibatkan 76 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam dan 11 kereta berhias dengan penyertaan 10,819 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelajar sekolah, Institusi Pengajian Tinggi serta wakil masyarakat sivil.
Buat julung-julung kalinya, sambutan turut disertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor, kontinjen Sukan SEA 2027 dan kontinjen kluster Kelestarian Ekonomi Jingga.
Sambutan turut diserikan persembahan pergendangan “Gema Inovasi MADANI” yang menggabungkan Rebana Inovasi, Kompang Inovasi dan pelbagai alat muzik tradisional lain, melibatkan 150 peserta pergendangan serta 1,500 peserta grafik manusia bagi mencerminkan kepelbagaian warisan seni dan budaya negara.
Kemuncak sambutan turut diserikan dengan persembahan skuadron pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia, manakala persembahan penutupan “Rentak MADANI, Paluan Tradisi” menghimpunkan 2,350 peserta. — BERNAMA



