HomeUtamaSPRM Gantung Serta-Merta Pemakaian Baju Oren Bagi OKS Ke Mahkamah

SPRM Gantung Serta-Merta Pemakaian Baju Oren Bagi OKS Ke Mahkamah

Read Time:1 Minute, 40 Second

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan penggantungan serta-merta pemakaian baju oren bagi Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah untuk tujuan permohonan reman, berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata langkah tersebut dilaksanakan susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian tahanan.

“Langkah ini diambil susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.

Menurut beliau, OKS kini diberikan kelonggaran untuk memakai pakaian biasa ketika berurusan di mahkamah.

“OKS dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh OKS berada dalam tahanan di lokap,” jelasnya.

Mengulas mengenai aspek keselamatan dan penggunaan gari, beliau memaklumkan ia kini tertakluk kepada keperluan kes tertentu sahaja.

“Bagi pemakaian gari pula adalah bergantung kepada keadaan tertentu dan dikecualikan kepada OKS yang uzur, Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak suruhanjaya sentiasa memperketatkan kawalan bagi menjamin keselamatan umum sepanjang proses tersebut.

“Walau bagaimanapun, SPRM akan terus mengambil langkah berjaga-jaga serta memastikan kawalan keselamatan dilaksanakan dengan sewajarnya dalam setiap proses pengendalian OKS,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa agensi tersebut komited untuk terus menegakkan integriti dan profesionalisme dalam setiap tindakan penguatkuasaan.

“SPRM kekal komited bagi memastikan setiap tindakan yang diambil dalam pengendalian OKS dilaksanakan secara profesional, berintegriti, berhemah dan selaras dengan perundangan serta prosedur yang ditetapkan,” katanya.


Sebelum itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan individu yang masih dalam proses siasatan dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tidak perlu dipakaikan baju tahanan berwarna oren sebelum didakwa.

Anwar berkata pemakaian baju berkenaan boleh memberikan persepsi berbeza terhadap individu terbabit sedangkan mereka masih belum berdepan pertuduhan.

“Sebelum pendakwaan atau sebelum dihadapkan dan didakwa, baju oren pun tak payah. Kalau tanya untuk siasat, siasat dulu.

“Kalau ada kes untuk didakwa, itu saya serah kepada badan penguat kuasa tentang baju warna apa,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang, hari ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Yang di-Pertuan Agong perkenan isytihar darurat di seluruh Bahagian Serian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular