Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Bapa Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak pernah ditanya sama ada bersetuju atau tidak untuk bedah siasat dijalankan terhadap anaknya.
Saksi ke-80, Mahathir Mohd Hashim @ Marikin, 45, berkata seorang doktor berbangsa India mengesahkan kematian Zara pada 17 Julai 2025 ketika beliau berada di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
“Pada 17 Julai 2025, semasa saya berada di HQE I, seorang doktor berbangsa India telah mengesahkan kematian Zara dan pada ketika itu, saya berada bersama dengan doktor tersebut.
“Saya tidak pernah ditanya sama ada saya bersetuju atau tidak untuk bedah siasat dijalankan,” katanya ketika membaca pernyataan bertulis beliau di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.
Mahathir berkata beliau berada di HQE I dari 16 hingga 17 Julai 2025 dan tidur di kawasan hospital untuk menunggu Zara.
Beliau sebelum itu tiba di unit kecemasan HQE I kira-kira jam 1 hingga 3 petang pada 16 Julai selepas mengetahui Zara berada di hospital berkenaan.
Mengimbas kembali ketika tiba di unit kecemasan, Mahathir berkata beliau nampak ibu Zara berada di luar unit kecemasan lalu bertanya mengenai keberadaan anaknya.
Selepas diberitahu oleh ibu Zara, beliau terus berjumpa Zara di katilnya setelah mendapat kebenaran daripada jururawat di unit kecemasan.
Menurut Mahathir, setibanya di katil Zara, beliau melihat seorang wanita berbangsa Cina dan seorang wanita berbangsa Melayu yang memakai baju seragam berwarna biru gelap, yang merupakan doktor, berada bersama-sama Zara.
Beliau berkata tidak ingat nama kedua-dua doktor wanita itu dan juga tidak tahu jawatan atau pangkat mereka.
“Saya kemudiannya dimaklumkan oleh wanita berbangsa Melayu tersebut bahawa keadaan Zara pada ketika itu adalah kritikal. Beliau turut memaklumkan bahawa sekiranya Zara hidup, Zara hanya akan berada dalam keadaan koma selama-lamanya. Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa Zara mengalami kecederaan serius yang melibatkan pendarahan otak, paru-paru, buah pinggang serta patah kaki,” katanya.
Mahathir berkata ketika berada di sisi katil Zara, beliau melihat bantal di tempat anaknya berbaring penuh dengan darah.
“Selepas itu, saya memegang kepala Zara dan mencium dahi Zara.
“Semasa saya memegang bahagian belakang kepala Zara, saya dapat merasakan bahawa bahagian belakang atas leher Zara berasa lembut dan seolah-olah terdapat lekukan. Saya juga mendapati kaki kiri Zara pula dibalut dari bahagian paha hingga ke tapak kaki,” katanya.
Mahathir turut berkata beliau ada berjumpa beberapa guru perempuan di luar unit kecemasan untuk bertanyakan apa yang sebenarnya berlaku kepada Zara dan sama ada mereka merupakan warden perempuan.
Bagaimanapun, menurutnya, mereka hanya memperkenalkan diri sebagai guru Sejarah dan guru Bahasa Melayu.
Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.



