HomeSukanSabah mahu beri ruang kepada atlet para bina masa depan melalui sukan

Sabah mahu beri ruang kepada atlet para bina masa depan melalui sukan

Read Time:1 Minute, 36 Second

SHAH ALAM : Kerajaan Sabah mahu memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menceburi bidang sukan sebagai platform membina masa depan serta mengharumkan nama negeri.

Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, pencapaian yang ditunjukkan atlet para negeri membuktikan golongan berkenaan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Menurut beliau, masyarakat khususnya golongan belia OKU yang mempunyai minat dan bakat dalam bidang sukan diseru tampil menyertai platform yang disediakan bagi mengembangkan potensi masing-masing.

“Kalau ada hasrat, datanglah. Kerana mengikut statistik kita mempunyai ramai lagi orang-orang yang kurang upaya yang harus kita ketengahkan dan saya percaya atas semangat yang ditunjukkan oleh atlet-atlet para kita, mereka mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media di sini bagi mengulas prestasi kontinjen Sabah pada temasya sukan yang sedang berlangsung.

Anil berkata, atlet Sabah mempunyai kemampuan untuk membina naratif baharu dalam sukan dengan melahirkan lebih ramai bakat, termasuk daripada kalangan atlet para.

Katanya, usaha itu penting bukan sahaja untuk meningkatkan imej Sabah di peringkat negeri dan Malaysia, malah membuka peluang kepada atlet terbabit untuk bersaing di pentas antarabangsa.

“Kita yakin dan percaya kalau mereka bagi kita ruang, kita akan cuba ambil ruang yang sepenuhnya untuk membawa mereka di satu platform yang cukup mencapai untuk masa depan mereka dan juga negeri kita,” katanya.

Dalam pada itu, Anil berkata prestasi atlet para Sabah pada temasya kali ini turut memperlihatkan kemampuan mereka untuk bersaing dan menyumbang kejayaan kepada kontinjen negeri.

Beliau berharap kejayaan yang dicapai atlet para dapat menjadi pencetus semangat kepada lebih ramai golongan OKU untuk menceburi bidang sukan secara serius.

Menurutnya, penglibatan lebih ramai atlet daripada golongan itu juga berpotensi melahirkan barisan atlet baharu yang mampu mengangkat nama Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat Sabah untuk terus memberikan sokongan kepada atlet negeri, khususnya atlet para yang sedang berjuang membawa cabaran Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Liga Super : Garrido akui kesilapan Sabah FC, tetapi akur bakat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular