SERDANG: Kepelbagaian produk hasil perikanan Sabah yang diketengahkan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menarik perhatian pengunjung, termasuk Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, David H. Gamble Jr.
Beliau mengadakan kunjungan ke gerai pameran SAFMA di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), di sini, pada Ahad.
Kunjungan itu disambut Penolong Pengurus (Pemasaran) SAFMA, James Abin, yang turut mengiringi dan menyantuni delegasi berkenaan sepanjang lawatan di gerai pameran.
Menurut SAFMA, kunjungan berkenaan memberi peluang kepada pihaknya memperkenalkan keunikan serta potensi produk hasil perikanan Sabah, khususnya menerusi inisiatif Ikan Rakyat Sabah, kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Penyertaan SAFMA di MAHA 2026 turut menjadi platform untuk mengetengahkan kepelbagaian hasil perikanan negeri selain memperkenalkan potensi industri perikanan Sabah kepada pasaran yang lebih luas.
Selain mempromosikan produk perikanan tempatan, penyertaan berkenaan turut membuka ruang kepada SAFMA memperluaskan jaringan pasaran serta meneroka peluang kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa.
SAFMA komited untuk terus memperkukuh usaha mempromosikan hasil perikanan Sabah melalui platform pameran dan promosi strategik, sekali gus meningkatkan keterlihatan produk tempatan serta membuka peluang pasaran baharu di peringkat antarabangsa.



