PUTRAJAYA: Sebuah helikopter jenis BO-105 yang menjalankan penerbangan Khidmat Doktor Udara dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Pendek (STOLport) Long Lellang, Sarawak, hari ini.
Pesawat yang menggunakan nombor pendaftaran 9M-LLF itu membawa lima individu termasuk juruterbang ketika kejadian.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
“CAAM mengesahkan sebuah helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF terhempas berhampiran STOLport Long Lellang hari ini, di mana pesawat tersebut beroperasi bagi penerbangan Khidmat Doktor Udara dengan lima individu di atas kapal termasuk juruterbang,” menurut kenyataan rasmi CAAM.
Susulan kejadian itu, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia akan digerakkan bagi menjalankan siasatan terhadap punca kejadian.
Siasatan akan dijalankan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.



