PAPAR: Tiga kenderaan perdagangan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah selepas didapati dipandu warga asing tanpa lesen memandu yang sah serta Lesen Vokasional (GDL) berhampiran Kampung Kawang, di sini.
Kenderaan berkenaan diperiksa dalam Ops Pewa (Pemandu Warga Asing) yang dilaksanakan Stesen Penguatkuasa Kimanis menerusi rondaan di laluan strategik Pan Borneo Papar–Kota Kinabalu, Papar–Beaufort dan Kimanis–Keningau.
Susulan pemeriksaan itu, notis JPJ(P)22 dan notis sita dikeluarkan terhadap pemandu serta pemilik kenderaan.
Kesemua kenderaan kemudian dibawa ke Stesen Penguatkuasa Kimanis untuk tindakan lanjut.
JPJ Sabah dalam kenyataan berkata, pihaknya akan sentiasa melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta meningkatkan keselamatan semua pengguna jalan raya.



