KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berangkat pulang selepas menamatkan lawatan kerja dua hari di Sabah, hari ini.
Pesawat khas yang membawa beliau berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada jam 2.45 petang.
Anwar dijadualkan meneruskan penerbangan ke New Delhi, India bagi menghadiri urusan rasmi.
Sepanjang lawatan kerja berkenaan, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), selain mengadakan lawatan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa kebakaran Kampung Numbak di Dewan Damai, di sini.
Dalam lawatan ke PPS itu, Anwar turut meluangkan masa menyantuni mangsa kebakaran serta menyampaikan sumbangan kepada mereka.
Hadir mengucapkan selamat jalan kepada Perdana Menteri di LTAKK ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Zainudin Aman dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab.



