Oleh Erdie Ab Wahid
PENAMPANG : Sebanyak 377,942 kenderaan telah diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, dengan 52,458 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
Pengarah JPJ Sabah Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, jumlah berkenaan menunjukkan penguatkuasaan terus dipertingkatkan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, tiga kesalahan utama yang paling banyak dikesan dalam tempoh berkenaan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada lesen memandu atau Lesen Memandu Malaysia (LMM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
“Daripada jumlah tersebut, tiga kesalahan utama yang kita sering nyatakan trendnya sama, iaitu kesalahan cukai jalan tamat tempoh sebanyak 19,564; tiada lesen memandu ataupun LMM tamat tempoh 17,389; dan tiada perlindungan insurans sebanyak 13,191,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pelaksanaan Ops Ekstrem, Ops Luxury dan Ops bersepadu di Ibu Pejabat JPJ Sabah di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd Harris berkata pematuhan terhadap peraturan jalan raya perlu diberi perhatian serius oleh semua pemilik dan pengguna kenderaan bagi mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan perlindungan sewajarnya sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Katanya, pengguna yang memandu tanpa lesen sah bukan sahaja melakukan kesalahan di sisi undang-undang, malah berdepan implikasi dari segi perlindungan insurans sekiranya terbabit dalam kemalangan.
“Saya rasa kesedaran juga perlu ada, sebab itu adalah peraturan dan juga jika kita tidak ada lesen, dari segi perlindungan insurans pun tidak ada. Kesan dia besar bila berlaku kemalangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ Sabah akan terus mempergiatkan pendekatan advokasi selain penguatkuasaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya.

Beliau berkata, JPJ turut melaksanakan program MyLicence bagi membantu rakyat mendapatkan lesen memandu yang sah.
“Tahun ini ada sebanyak 4,600 lesen percuma yang kita berikan B2 (motosikal),” katanya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan termasuk program MyLicence B2S yang dilaksanakan mulai Julai membabitkan pelajar sekolah yang akan menamatkan program tersebut sekitar Oktober atau November. – SABAH MEDIA



