KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bebas daripada pertuduhan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya berhubung kemalangan di sebuah pencawang elektrik pada 2022.
Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir @ Fisal membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap syarikat berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Sabah Electricity sebagai majikan didakwa gagal memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya ketika bekerja kerana gagal memastikan pematuhan sistem kerja yang selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan.
Kesalahan itu didakwa berlaku ketika kerja-kerja tamatan kabel di dalam peti pembekal (feeder pillar) No. 2 di Pencawang Elektrik Kampung Sim-Sim, Sandakan, kira-kira jam 11 pagi pada 4 Ogos 2022 sehingga menyebabkan kemalangan terhadap seorang pekerja lelaki.
Sabah Electricity didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes itu bermula di Mahkamah Sesyen Sandakan pada 23 April 2024 dengan pihak pendakwaan memanggil 10 saksi sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Kementerian Sumber Manusia, Sandakan, Jinurah Sintian.
Sabah Electricity diwakili peguam Datuk Rizwandean Bukhary M Borhan dan Elhanan James.



