HomeUtamaSawit Kinabalu utamakan kelestarian untuk tiga dekad akan datang

Sawit Kinabalu utamakan kelestarian untuk tiga dekad akan datang

Read Time:2 Minute, 59 Second

KINABATANGAN: Kumpulan Sawit Kinabalu menjadikan kelestarian sebagai antara keutamaan dalam meneruskan perkembangan dan penciptaan nilai bagi tempoh 30 tahun akan datang, dengan pemuliharaan alam sekitar kekal sebagai sebahagian daripada pendekatan pembangunan syarikat.

Pengerusi Kumpulan, Datuk Hazem Mubarak Musa, berkata ulang tahun ke-30 Kumpulan bukan sahaja menjadi peluang untuk menilai perjalanan yang telah dilalui, malah merancang pencapaian bagi tiga dekad akan datang.

Ucapannya disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan, Datuk Zakaria Mohd Edris.

Beliau berkata, Sawit Kinabalu akan terus memperkukuh usaha pemuliharaan, dengan Sawit Kinabalu Conservation Area (SPnCA) menjadi antara contoh bagaimana perlindungan alam sekitar dapat dilaksanakan seiring dengan pembangunan perniagaan, tanggungjawab sosial dan kepentingan masyarakat.

“Harapan kami adalah apabila melihat kembali 30 tahun akan datang, kita bukan sahaja dapat melihat sejauh mana Kumpulan ini telah berkembang, tetapi juga sumbangan yang telah kita berikan dalam melindungi alam sekitar serta mewujudkan peluang untuk generasi akan datang,” katanya.

SPnCA yang meliputi kawasan seluas 2,632 hektar menyediakan habitat penting serta kesinambungan ekologi bagi hidupan liar, dengan rekod biodiversiti merangkumi lebih 600 jenis tumbuhan, 28 jenis mamalia, 122 spesies burung dan 22 spesies ikan.

Antara usaha pemuliharaan yang dilaksanakan termasuk pembinaan tiga jambatan hidupan liar, pemasangan sarang tiruan untuk burung kenyalang, pemantauan biodiversiti serta kerjasama dalam bidang penyelidikan.

Lebih 980,000 pokok turut ditanam sejak 2003 menerusi pelbagai usaha pemulihan dan kerjasama dengan rakan strategik.

SPnCA turut mencatatkan pencapaian penting apabila dipilih sebagai tapak perintis Malaysia bagi Other Effective Area-Based Conservation Measures (OECM) pada 2024 dan kini menjadi calon bagi IUCN Green List, dengan pensijilan disasarkan pada 2028.

Kawasan konservasi itu juga merupakan tapak perintis bagi inisiatif Diplomasi Orang Utan (OUDip) yang dicadangkan pada Mei 2024 oleh Menteri Perladangan dan Komoditi ketika itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, serta dilaksanakan menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).

OUDip mengetengahkan komitmen Malaysia dalam melindungi orang utan di habitat semula jadinya, selain menjadikan spesies berkenaan sebagai duta pemuliharaan biodiversiti serta memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam memelihara warisan semula jadi Sabah dan Malaysia.

Sementara itu, menurut Ationg, aktiviti yang dilaksanakan memberi peluang kepada peserta memahami kepentingan alam sekitar secara lebih praktikal dan bermakna, di samping menggalakkan golongan muda melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada usaha melindungi alam sekitar.

Ucapannya disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SK Green Services and Tours Sdn. Bhd., Philip Datuk Wilfred Mojilis.

Beliau berkata, tema sambutan tahun ini, “Now for Climate”, menjadi peringatan bahawa tindakan menangani perubahan iklim tidak semestinya bermula dengan inisiatif berskala besar, sebaliknya boleh dimulakan menerusi tindakan mudah dan praktikal di sekolah, rumah, tempat kerja serta komuniti.

Katanya, pendekatan itu turut diterapkan menerusi pelbagai aktiviti sempena sambutan berkenaan, termasuk larian Fun Run sejauh enam kilometer, pertandingan masakan tradisional dan pertandingan mereka cipta replika hidupan liar menggunakan bahan kitar semula.

Victor turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama berterusan agensi kerajaan, organisasi pemuliharaan, sekolah, rakan strategik dan komuniti setempat dalam menyokong usaha pemuliharaan, pendidikan alam sekitar serta inisiatif pembangunan lestari di sekitar SPnCA.

Dalam pertandingan mereka cipta replika hidupan liar menggunakan bahan kitar semula, SK Paris (Kumpulan 1B) muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

SK Paris (Kumpulan 1A) dan SK Batu Puteh masing-masing muncul naib johan pertama dan naib johan kedua, dengan menerima RM800 dan RM600.

Pertandingan masakan tradisional pula disertai beberapa kumpulan komuniti wanita yang mewakili Mukim Batu Puteh, termasuk Kampung Mengaris 2, Kampung Batu Puteh dan Kampung Mengaris 1.

Johan menerima hadiah wang tunai RM1,000, diikuti naib johan RM800 dan tempat ketiga RM600.

SK Batu Puteh turut menerima Anugerah Pilihan Rakyat (People’s Choice Award), sekali gus menyerlahkan kreativiti dan daya tarikan replika hidupan liar menggunakan bahan kitar semula yang dihasilkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Bekalan elektrik Sabah meningkat selepas ambil alih kawal selia tenaga

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular