HomeUtamaPengesanan awal penting elak penyakit vaskular tidak disedari – Julita

Pengesanan awal penting elak penyakit vaskular tidak disedari – Julita

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU: Orang ramai, khususnya golongan berisiko, digesa menjalani saringan awal bagi mengesan penyakit vaskular kerana sebahagian daripada penyakit berkenaan boleh berlaku tanpa menunjukkan gejala yang jelas sehingga menjadi serius atau mengancam nyawa.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, pengesanan awal penting bagi membolehkan sebarang masalah vaskular dikenal pasti dan dirawat pada peringkat awal.

Katanya, antara tanda amaran yang tidak wajar diabaikan termasuk sakit atau kekejangan pada kaki ketika berjalan, kaki terasa sejuk atau kebas, perubahan warna kulit, bengkak serta luka yang mengambil masa lama untuk sembuh.

“Jangan menganggap tanda-tanda ini sebagai sesuatu yang normal hanya kerana faktor usia. Sekiranya terdapat perubahan yang luar biasa, dapatkan pemeriksaan perubatan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Kesedaran Penyakit Vaskular di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II), di sini, pada Isnin.

Menurut Julita, antara keadaan yang diberi perhatian menerusi kempen berkenaan ialah aneurisma aorta abdominal (AAA), iaitu keadaan apabila bahagian dinding aorta yang lemah, iaitu salur darah utama yang membawa darah dari jantung ke seluruh tubuh, menjadi membesar atau mengembung.

Katanya, AAA boleh berlaku tanpa menunjukkan gejala yang jelas, namun keadaan itu boleh mengancam nyawa sekiranya aneurisma berkenaan pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman yang serius.

“Justeru, kesedaran mengenai penyakit vaskular dan kepentingan saringan awal perlu dipertingkatkan supaya individu berisiko dapat mengambil tindakan sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya.

Kempen berkenaan turut menyediakan aktiviti saringan bagi AAA dan penyakit arteri periferi (PAD) sebagai sebahagian usaha menggalakkan pengesanan awal dalam kalangan masyarakat.

Julita berkata PAD berlaku apabila saluran darah yang membekalkan anggota badan, khususnya kaki, menjadi sempit atau tersumbat.

Antara gejala PAD termasuk sakit pada kaki ketika berjalan, kaki terasa sejuk atau kebas, perubahan warna kulit serta luka yang lambat sembuh.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko penyakit vaskular, termasuk berhenti merokok, mengawal tekanan darah, paras gula dalam darah dan tahap kolesterol.

Katanya, masyarakat juga perlu mengekalkan berat badan yang sihat, mengamalkan pemakanan seimbang serta kekal aktif secara fizikal.

“Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi serius. Kenali tubuh anda, kenal pasti tanda-tanda amaran dan ambil tindakan lebih awal,” katanya.

Julita berkata Kerajaan Sabah akan terus menyokong usaha menyediakan maklumat kesihatan yang tepat, saringan yang bersesuaian serta perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti kepada rakyat.

RELATED ARTICLES
Utama

KKIS beri peluang pelajar sekolah tahfiz, pondok belajar kemahiran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular