HomeUtamaRestoran dikompaun gagal pamer tanda harga makanan

Restoran dikompaun gagal pamer tanda harga makanan

Read Time:1 Minute, 36 Second

LABUAN: Sebuah restoran di Wilayah Persekutuan Labuan dikenakan tindakan kompaun selepas didapati gagal mempamerkan tanda harga jualan tunai bagi makanan sedia masak yang ditawarkan kepada pelanggan.

Tindakan itu diambil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan susulan satu aduan awam yang disalurkan melalui portal rasmi e-Aduan KPDN.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain, berkata sepasukan pegawai penguat kuasa telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan di premis terbabit bagi mengesahkan aduan yang diterima.

“Hasil pemeriksaan mendapati makanan sedia masak yang dipamerkan dan ditawarkan kepada pelanggan tidak diletakkan tanda harga jualan tunai seperti yang diwajibkan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kegagalan berkenaan merupakan ketidakpatuhan terhadap Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, yang dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Susulan penemuan itu, tindakan kompaun dikenakan terhadap pengusaha restoran berkenaan kerana gagal mematuhi keperluan penandaan harga yang ditetapkan.

Menurut Junaidah, peniaga yang menawarkan makanan sedia masak hendaklah memastikan harga jualan dipamerkan dengan jelas bagi membolehkan pengguna mengetahui harga sebelum membuat pilihan atau pembelian.

Katanya, penandaan harga yang jelas juga penting bagi mengelakkan kekeliruan dan pertikaian berkaitan harga, selain memastikan urus niaga antara peniaga dan pengguna dilaksanakan secara telus.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan berikutnya, denda boleh dikenakan sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan pula, denda boleh dikenakan sehingga RM100,000 dan sehingga RM250,000 bagi kesalahan berikutnya,” katanya.

Dalam pada itu, KPDN Wilayah Persekutuan Labuan memberi jaminan akan terus menjalankan pemantauan serta mengambil tindakan terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan.

Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga melalui saluran rasmi KPDN bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya dilaksanakan.

RELATED ARTICLES
Utama

Anjing gigit orang, pemilik didenda RM1,400

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular