HomeUtamaBelanjawan 2027 : Pengukuhan industri komoditi, pekebun kecil diharap terus diberi perhatian

Belanjawan 2027 : Pengukuhan industri komoditi, pekebun kecil diharap terus diberi perhatian

Read Time:1 Minute, 35 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berharap agar aspek pengukuhan industri komoditi serta usaha memperkasakan pekebun kecil di seluruh negara akan terus diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentang Oktober ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, perhatian berterusan terhadap sektor komoditi penting bagi memastikan industri berkenaan terus diperkukuh, termasuk memberi manfaat yang lebih besar kepada golongan pekebun kecil.

“Sudah semestinya harapan kita agar penekanan terutamanya mengenai pengukuhan industri komoditi ini dapat diberi perhatian.

“Selain itu kita juga berharap agar Kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memperkasakan pekebun-pekebun kecil di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2026 di sini pada Khamis.

Noraini berkata, usaha memperkasakan pekebun kecil perlu dilihat sebagai antara langkah penting dalam memastikan golongan itu dapat meningkatkan pendapatan melalui aktiviti penanaman komoditi.

Katanya, kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk insentif penanaman semula sawit dan khidmat nasihat.

Menurutnya, peningkatan pendapatan pekebun kecil bukan hanya bergantung kepada jumlah hasil yang dikeluarkan, tetapi turut berkait rapat dengan kualiti hasil serta keupayaan memenuhi keperluan pasaran.

“Matlamatnya adalah untuk menjadikan hasil produk kita berkualiti dan dapat membantu meningkatkan pendapatan pekebun-pekebun kecil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata aspek kebolehkesanan produk sawit turut menjadi antara fokus penting bagi memastikan hasil keluaran pekebun kecil mampu memenuhi tuntutan pasaran antarabangsa.

Katanya, penerapan amalan berkenaan menerusi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dapat membuka ruang kepada produk sawit tempatan untuk dipasarkan dengan lebih meluas.

Noraini berkata, kerjasama antara kerajaan, agensi berkaitan dan pekebun kecil amat penting bagi memastikan usaha meningkatkan produktiviti serta pendapatan golongan berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata, kejayaan sebenar pekebun kecil juga perlu dilihat daripada keupayaan mereka meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan keluarga, bukan semata-mata berdasarkan pencapaian dari aspek pengeluaran dan eksport. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bot pukat jerut bilis ditahan disyaki langgar syarat lesen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular