HomeUtamaSabah tidak tergesa-gesa dalam perdagangan pasaran karbon

Sabah tidak tergesa-gesa dalam perdagangan pasaran karbon

Read Time:3 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Sabah tidak akan tergesa-gesa membawa projek karbon ke pasaran atau membenarkan perdagangan kredit karbon secara spekulatif tanpa penelitian dan kawal selia yang sewajarnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peluang dalam pasaran karbon Sabah amat besar, namun kerajaan negeri perlu memastikan setiap projek memenuhi piawaian tinggi dari aspek integriti alam sekitar, sosial, kewangan dan tadbir urus bagi melindungi reputasi serta jenama Sabah.

“Kita akan melindungi reputasi dan jenama Sabah melalui disiplin kawal selia yang kukuh. Projek yang dirangka dengan lemah, tuntutan iklim yang dibesar-besarkan, sumber yang dinilai terlalu rendah serta peminggiran komuniti pribumi boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kredit karbon Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, pada Forum Pasaran Karbon Sabah: Membuka Peluang Pasaran Karbon untuk Sabah di Hotel Hilton, di sini, hari ini.

Menurutnya, Sabah telah mewujudkan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 yang mengiktiraf pemilikan hak karbon oleh kerajaan negeri serta menetapkan peraturan bagi aktiviti berkaitan karbon, termasuk kelulusan projek dan perdagangan kredit karbon.

Katanya, Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCCAC) akan menyelia dasar iklim negeri, menyediakan belanjawan karbon negeri untuk kelulusan kementerian dan pewartaan serta menyelaras usaha antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah pula akan menyediakan sokongan teknikal dan operasi kepada SCCAC. Secara keseluruhannya, rangka kerja ini menyediakan satu pintu masuk kawal selia tempatan yang telus kepada pelabur bagi kelulusan projek dan pensijilan hak karbon,” katanya.

Hajiji berkata Sabah mempunyai inisiatif kredit karbon disahkan berasaskan alam semula jadi yang pertama di Malaysia menerusi Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut, meliputi kira-kira 83,381 hektar hutan tanah rendah yang kaya dengan biodiversiti.

Projek itu dijangka menghasilkan pengurangan pelepasan kira-kira 800,000 tan karbon dioksida (CO2) dan menjadi antara penanda aras bagi inisiatif akan datang, selain dinilai sebagai antara projek terbaik dalam kelasnya oleh BeZero Carbon, agensi penarafan kredit karbon global.

Katanya, kerajaan negeri turut membangunkan portfolio aset karbon yang dipelbagaikan merentasi sektor utama termasuk Ekonomi Biru, pertanian, tenaga boleh baharu dan teknologi hijau serta pemerangkapan dan penyimpanan karbon.

Dalam sektor Ekonomi Biru, Sabah mempunyai lebih 340,000 hektar hutan bakau, yang merupakan kawasan bakau berterusan terbesar di Malaysia, selain berpotensi membangunkan bioteknologi marin, akuakultur mampan dan pelancongan berasaskan ekosistem marin.

Bagi sektor pertanian pula, industri kelapa sawit Sabah yang meliputi hampir 1.5 juta hektar menawarkan peluang bagi pemerangkapan metana serta inisiatif mitigasi iklim berasaskan sisa pertanian.

Dalam sektor tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memperluaskan penggunaan tenaga solar, hidro, biojisim dan biogas berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040.

“Sabah menyasarkan untuk meningkatkan bahagian tenaga elektrik boleh baharu menjelang 2030 menerusi projek solar, hidro dan biojisim,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata lembangan geologi luar pesisir Sabah bersama kawasan maritim negeri mempunyai potensi jangka panjang bagi penyimpanan karbon secara geologi dan berupaya meletakkan Sabah sebagai hab penyimpanan industri penting di peringkat nasional untuk perkhidmatan serantau.

Hajiji berkata hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), sekali gus menyumbang kepada komitmen Malaysia terhadap pemeliharaan biodiversiti dan sasaran pemuliharaan global 2030 di bawah Kerangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal.

“Sabah juga merupakan penyerap bersih karbon utama Malaysia, atau negeri karbon negatif, berdasarkan data inventori gas rumah hijau. Litupan hutan kita yang luas memperkukuh kapasiti penyerapan karbon keseluruhan Malaysia pada kadar kira-kira 36 peratus,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berusaha menjadikan pemuliharaan aset semula jadi sebagai peluang ekonomi yang bertanggungjawab, di samping memastikan manfaatnya dirasai komuniti tempatan.

“Tugas kita sekarang ialah pelaksanaan, iaitu membangunkan projek yang berwibawa, mewujudkan permintaan pasaran, mendapatkan pembiayaan dan memastikan usaha pemuliharaan memberikan nilai yang berkekalan,” katanya.

Hajiji turut menyeru pemimpin sektor kewangan termasuk CIMB Bank Berhad, Bursa Malaysia, pemimpin industri dan pelabur untuk bersama-sama membangunkan rangka kerja pembiayaan praktikal bagi merapatkan jurang modal projek karbon yang berwibawa serta menyokong sasaran iklim 2030 di bawah Perjanjian Paris.

“Kami menjemput anda untuk bekerjasama dengan kami, melabur di Sabah, menubuhkan operasi teknikal anda di sini dan membuka nilai sebenar modal semula jadi kita,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Bomba selamatkan pelajar 13 tahun tersepit kaki pada gerigi longkang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular