HomeUtamaBuku kanak-kanak buka ruang belajar bahasa Kadazandusun

Buku kanak-kanak buka ruang belajar bahasa Kadazandusun

Read Time:2 Minute, 2 Second

Oleh J Evachel john

KOTA KINABALU: Bahan bacaan yang menarik dan sesuai dengan tahap penguasaan kanak-kanak dilihat mampu mencetuskan minat mereka untuk mengenali dan mempelajari bahasa Kadazandusun.

Harapan itu disuarakan pelajar yang terlibat menghasilkan 25 buku kanak-kanak bahasa Kadazandusun yang dilancarkan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, baru-baru ini.

Buku berkenaan dihasilkan menerusi kerjasama Jabatan Bahasa Kadazandusun Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran dan Kadazandusun Language Foundation (KLF), dengan penglibatan pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Kadazandusun di bawah bimbingan pensyarah.

Seorang daripada penulis, Melvin Everlee Kassim, berkata tarikan terhadap bahan bacaan boleh menimbulkan rasa ingin tahu yang seterusnya mendorong kanak-kanak untuk mempelajari bahasa berkenaan.

“Mungkin pada mulanya kanak-kanak hanya tertarik dengan gambar, kemudian cuba membaca dan mula bertanya maksud perkataan yang yang tidak difahami.

“Dari situ timbul minat dan rasa ingin tahu. Lama-lama mereka akan lebih berusaha untuk belajar bahasa itu,” katanya.

Rickolle Taisin pula berkata bahan bacaan perlu mengambil kira tahap penguasaan kanak-kanak, selain menggunakan elemen visual yang mampu menarik perhatian mereka.

Menurutnya, buku berkenaan mempunyai aras bacaan berbeza, daripada teks ringkas untuk kanak-kanak yang baru belajar membaca kepada cerita lebih panjang bagi mereka yang sudah mampu mengikuti jalan cerita.

“Ada aras-aras dia. Yang pendek-pendek begini sesuai untuk Tahun Satu, Dua dan Tiga, yang baru mahu belajar membaca. Kalau yang mahu menikmati alur cerita, boleh baca cerita yang agak panjang,” katanya.

Sementara itu, Arnold Suani berkata penerbitan bahan bacaan perlu disokong dengan penggunaan bahasa Kadazandusun di rumah kerana kanak-kanak menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga.

Menurutnya, sekolah pula boleh membantu kanak-kanak yang kurang mendapat pendedahan kepada bahasa itu di rumah dengan mengajar mereka secara berperingkat, daripada memahami perkataan hingga menggunakannya dalam ayat.

Terdahulu, Pairin berharap penerbitan 25 tajuk berkenaan bukan menjadi noktah, sebaliknya permulaan kepada gerakan yang lebih besar.

Menurutnya, usaha itu mungkin kelihatan sederhana dalam bentuknya, tetapi besar maknanya kepada masa depan bahasa.

Katanya, lebih ramai penulis muda perlu digalakkan, selain lebih banyak cerita rakyat didokumentasikan, pengetahuan tradisional dirakamkan dan bahan bacaan berkualiti disediakan untuk generasi akan datang.

“Kita mahu melihat lebih banyak karya diterbitkan dalam Bahasa Kadazandusun. Kita juga berharap usaha yang sama dapat diperluaskan kepada bahasa-bahasa etnik lain di Sabah.

“Lebih ramai penulis muda harus digalakkan. Lebih banyak cerita rakyat perlu didokumentasikan. Lebih banyak pengetahuan tradisional perlu dirakamkan.

“Dan lebih banyak bahan bacaan berkualiti perlu disediakan untuk generasi akan datang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Beza harga 30 sen, premis di Labuan dikenakan tindakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular