HomeUtamaKPDN harap peruntukan Jualan Rahmah ditambah dalam Belanjawan 2027

KPDN harap peruntukan Jualan Rahmah ditambah dalam Belanjawan 2027

Read Time:1 Minute, 34 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap Kementerian Kewangan (MOF) mempertimbangkan penambahan peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dalam Belanjawan 2027.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tambahan peruntukan diperlukan bagi membolehkan kekerapan penganjuran dan liputan program berkenaan diperluaskan susulan sambutan menggalakkan daripada rakyat.

Beliau berkata, PJRM yang dirintis pada 2023 sebagai program jualan murah di bawah agenda Payung Rahmah kini menjadi inisiatif tetap kerajaan dengan peruntukan khusus bermula 2024.

“Kalau kita lihat sambutan rakyat, pada 2023 jumlah transaksi hanya 9.2 juta, meningkat kepada 12.8 juta pada 2024 dan 27.5 juta pada 2025.

“Bagi tahun ini sahaja, dari 1 Januari hingga 23 September, jumlah transaksi PJRM telah mencapai 31.8 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Selawat dan Tadabbur Syukbah Wanita Parlimen Papar yang dihadiri hampir 1,500 orang, hari ini.

Menurut Armizan, barangan yang ditawarkan menerusi PJRM dijual antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dalam menangani kos sara hidup.

Katanya, peruntukan di bawah agenda Payung Rahmah bermula dengan RM300 juta pada 2024 sebelum meningkat kepada RM600 juta pada tahun ini, termasuk komponen PJRM.

“Kita berterima kasih dengan peruntukan besar yang telah disediakan, namun sambutan rakyat amat luar biasa dan kita mengharapkan tambahan peruntukan supaya kekerapan penganjuran dapat ditingkatkan.

“Kita faham MOF juga berhadapan cabaran dari segi ruang fiskal, namun kita berharap inisiatif berkaitan kos sara hidup yang memberi impak secara langsung dan dilaksanakan secara bersasar dapat terus diberi perhatian,” katanya.

Armizan berkata, KPDN juga telah melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap PJRM termasuk menetapkan sasaran tahunan dan bulanan berdasarkan kawasan, memperluaskan penglibatan peniaga serta mempelbagaikan mekanisme penganjuran.

Katanya, program berkenaan kini turut dilaksanakan secara bergerak dan bertema termasuk musim gaji, musim perayaan serta musim persekolahan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat di bandar, luar bandar dan pedalaman.

RELATED ARTICLES
Utama

Beliawanis mahu dekati komuniti, tampil sebagai platform pemerkasaan wanita muda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular