HomeUtamaTakwim Jualan Rahmah diperluas, maklumat dipamer di lokasi awam

Takwim Jualan Rahmah diperluas, maklumat dipamer di lokasi awam

Read Time:1 Minute, 26 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan hebahan takwim Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) melalui pelekat khas di lokasi awam mulai 1 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu bertujuan memudahkan rakyat mendapatkan maklumat mengenai jadual dan lokasi penganjuran PJRM di kawasan masing-masing.

Katanya, pelekat khas berkenaan akan ditempatkan di rumah ibadat, premis kerajaan dan stesen bas, tertakluk kepada permintaan serta persetujuan pemilik premis.

“Kita dapati masih ada rakyat yang belum mengetahui penjadualan PJRM walaupun maklumat itu sudah disediakan melalui laman sesawang dan aplikasi Info Jualan Rahmah.

“Jadi, mulai 1 Oktober ini kita akan melekatkan pelekat khas takwim PJRM di tempat-tempat awam bagi memperluaskan lagi akses rakyat kepada maklumat program,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Selawat dan Tadabbur Syukbah Wanita Parlimen Papar di Masjid Daerah Papar, hari ini.

Menurut Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, melalui pelekat berkenaan, orang ramai boleh mengimbas maklumat menggunakan telefon bimbit untuk mengetahui penganjuran PJRM di kawasan sekitar mereka.

Katanya, KPDN turut memperkenalkan takwim PJRM sejak 2025 bagi memastikan penganjuran program tidak lagi dilaksanakan secara tidak teratur.

“Apabila ia menjadi program tetap kerajaan, kita mahu rakyat dapat mengetahui jadual lebih awal supaya mereka boleh membuat perancangan.

“Jadual itu boleh dirujuk melalui laman sesawang KPDN dan kita juga telah memperkenalkan aplikasi Info Jualan Rahmah yang boleh dimuat turun melalui Apple App Store dan Google Play,” katanya.

Armizan berkata, PJRM kini dilaksanakan melalui pelbagai mekanisme termasuk jualan di premis, jualan bergerak serta program bertema seperti musim gaji, musim perayaan dan musim persekolahan.

Katanya, penganjuran turut diperluaskan ke kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman bagi memastikan akses kepada program berkenaan dapat dinikmati lebih ramai rakyat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Beliawanis mahu dekati komuniti, tampil sebagai platform pemerkasaan wanita muda

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular