HomeUtamaPendidikan STEM perlu terus diperkasa lahir bakat berkemahiran tinggi - Masidi

Pendidikan STEM perlu terus diperkasa lahir bakat berkemahiran tinggi – Masidi

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu terus diperkasa bagi melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan pelbagai sektor di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pembangunan infrastruktur, kemasukan pelaburan dan pertumbuhan industri tidak akan mencapai matlamat jangka panjang tanpa tenaga kerja berkemahiran yang menjadi penggerak kepada pembangunan berkenaan.

Katanya, keperluan terhadap bakat berkemahiran tinggi semakin penting ketika Sabah meneroka pertumbuhan dalam sektor tenaga, pembuatan, teknologi, logistik, pelancongan dan ekonomi digital.

“Pelaburan dan industri boleh dibangunkan, namun bakat manusia akhirnya menjadi pemacu kepada kemajuan yang berkekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan ConocoPhillips STEM Forward 2026 di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru, di sini.

Menurut Masidi, Sabah mahu lebih ramai anak tempatan bukan sahaja mengambil bahagian dalam peluang yang tersedia, malah mampu memimpin industri bernilai tinggi pada masa hadapan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh pendidikan STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain menyediakan laluan kepada bakat tempatan untuk menceburi industri yang memerlukan kemahiran khusus.

Masidi turut mengiktiraf komitmen ConocoPhillips Malaysia dalam pembangunan bakat STEM di Sabah, dengan lebih 10,000 pelajar mendapat manfaat daripada ekosistem STEM yang diwujudkan syarikat itu menerusi pelbagai inisiatif, termasuk STEM Forward.

Katanya, program berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan inovasi, malah membantu mereka memahami peluang serta pengalaman sebenar dalam industri.

Dalam pada itu, Masidi menekankan peranan penting guru dalam membimbing dan membentuk generasi muda, khususnya dalam menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti dan program STEM.

Beliau turut mengalu-alukan penyerahan Modul STEM Preppers Mathematics and Science kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sebagai usaha memperkukuh pembelajaran STEM secara lebih mampan dan meluas.

Masidi berkata, kejayaan agenda Sabah Maju Jaya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan dan pihak industri bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada generasi muda.

“Marilah kita terus melabur dalam anak-anak muda kerana mereka adalah aset terbesar dan asas kepada masa depan Sabah,” katanya.

Turut hadir Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan serta tetamu kehormat lain.

RELATED ARTICLES
Utama

CEO, penjawat awam nafi dakwaan rasuah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular