HomeUtamaLelaki nafi tuduhan sebabkan kematian, miliki bakakuk dan peluru

Lelaki nafi tuduhan sebabkan kematian, miliki bakakuk dan peluru

Read Time:1 Minute, 18 Second

PAPAR: Seorang penoreh getah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tiga pertuduhan membabitkan kematian seorang lelaki akibat perbuatan cuai serta pemilikan senjata api dan peluru tanpa lesen.

Tertuduh Stephen Rantin, 55, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh, didakwa menyebabkan kematian Jivalwoddy Jalius, 19, dengan melakukan satu perbuatan cuai pada 11 Januari 2026 antara jam 4 petang hingga 6 petang di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Stephen didakwa memiliki selaras senapang jenis bakakuk tiada jenama dan tanpa lesen senjata yang sah pada 12 Januari 2026 jam 5.30 petang di sebuah rumah tidak bernombor, di kampung yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah akta yang sama kerana memiliki sebutir peluru berwarna hijau tanpa lesen pada masa dan tempat yang sama.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan terhadap tertuduh dengan dua penjamin tempatan, manakala pengurusan kes ditetapkan pada 20 November depan.

Prosiding pendakwaan pada Selasa dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Amir Khuzairi Ahmad, manakala siasatan kes oleh Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor Desmond Tanggapan.

RELATED ARTICLES
Utama

27 warga asing dipenjara, didenda atas kesalahan imigresen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular