HomeUtamaPenduduk Pulau Banggi puji tahap keselamatan, mahu hubungan feri diperkasa

Penduduk Pulau Banggi puji tahap keselamatan, mahu hubungan feri diperkasa

Read Time:2 Minute, 50 Second

KUDAT: Kehadiran pelbagai agensi keselamatan di Pulau Banggi di sini memberi keyakinan kepada penduduk setempat bahawa tahap keselamatan di kawasan itu berada dalam keadaan baik dan terkawal.

Tinjauan Sabah Media ketika mengikuti lawatan khas agensi pusat ke pulau itu mendapati penduduk setempat menjalankan kehidupan seharian dengan tenang selain terdapat kawalan agensi keselamatan di darat mahupun laut.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Ruaina Loudin, berkata keberadaan pihak polis termasuk beberapa agensi keselamatan lain seperti Tentera Darat Malaysia dan Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) membantu meyakinkan masyarakat bahawa aspek keselamatan di pulau berkenaan sentiasa diberi perhatian.

Ruaina Loudin

Menurutnya, penduduk dapat menjalankan kehidupan seharian dalam suasana aman dan tenteram dengan sokongan agensi keselamatan yang berada di kawasan itu.

“Keselamatan bagus kerana semua ada di sini, termasuk balai polis, tentera darat dan ESSCOM. Setakat ini, klinik dan doktor pun ada,” katanya.

Balai Polis Karakit Pulau Banggi turut diletakkan di pulau berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjaga

Beliau berkata, kehadiran agensi berkenaan bukan sahaja penting dari segi keselamatan, malah turut memberikan ketenangan kepada penduduk dalam menjalankan urusan harian dan aktiviti perniagaan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sedilman Amat, berkata pemantauan pihak polis yang kerap turut membantu mengekalkan keadaan aman di Pulau Banggi.

Katanya, setakat ini tiada kejadian membimbangkan yang menjejaskan keyakinannya terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

Sedilman Amat

“Alhamdulillah, dari segi keselamatan memang baik. Setakat ini, balai polis memang kerap membuat pemantauan. Anggota polis pun baik dan tiada kes yang membimbangkan,” katanya.

Menurutnya, pemantauan berterusan pihak berkuasa penting bagi memastikan ketenteraman di pulau itu terus terpelihara demi kesejahteraan masyarakat setempat.

Laluan Jeti Pulau Banggi

Sedilman turut mengalu-alukan lawatan agensi Kerajaan  ke Pulau Banggi kerana ia memberi peluang kepada pihak luar melihat sendiri keadaan di kawasan berkenaan, termasuk keperluan penduduk.

Beliau berharap perhatian kerajaan terhadap Pulau Banggi dapat diteruskan, khususnya dalam memastikan tahap keselamatan dan kemudahan asas terus dipelihara bagi menjamin kesejahteraan penduduk.

Penduduk berharap kerjasama antara masyarakat dengan agensi keselamatan dapat terus dikekalkan supaya suasana aman dan tenteram di Pulau Banggi berterusan.

Pos Kawalan Imigresen Karakit turut diletakkan di pulau berkenaan

Dalam pada itu, Sedilman berkata penambahbaikan perkhidmatan feri perlu diberi perhatian kerana kemudahan pengangkutan itu menjadi antara keperluan penting bagi menghubungkan penduduk Pulau Banggi dengan tanah besar.

Katanya, perjalanan feri yang terhad menyukarkan pergerakan penduduk, selain memberi kesan kepada kakitangan kerajaan dan pihak luar yang perlu berurusan di pulau berkenaan.

Menurutnya, terdapat pihak yang terpaksa menginap selama dua hingga tiga hari bagi menyelesaikan urusan masing-masing berikutan kekangan jadual perjalanan feri.

Rondaan agensi keselamatan dilaut turut memberi keyakinan kepada penduduk di pulau berkenaan

Justeru, beliau berharap kekerapan perjalanan dapat ditambah, khususnya pada waktu pagi dan petang, bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

“Harap-harap perkhidmatan feri ini dapat diperbaiki, termasuk menambah feri supaya perjalanan dapat kembali seperti dahulu. Kalau boleh, dua feri dari sini dan dua feri dari sana, dengan perjalanan pada waktu pagi dan petang,” katanya.

Beliau turut berharap usaha kerajaan menyediakan subsidi diesel bagi perkhidmatan feri dapat membantu memperbaiki operasi dan memulihkan jadual perjalanan untuk kemudahan penduduk.

Feri yang menjadi pengangkutan penduduk dari Kudat ke Pulau Banggi

Sementara itu, Ruaina berkata perkhidmatan feri yang lebih cekap bukan sahaja memudahkan urusan masyarakat, malah berpotensi meningkatkan jumlah pengunjung ke Pulau Banggi.

Katanya, pertambahan pengunjung boleh memberi manfaat kepada peniaga tempatan, terutama mereka yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman.

“Kalau ramai orang masuk, ramailah juga yang datang minum atau membeli sesuatu,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

MCCC Sabah ketuai delegasi 100 ahli ke Guangzhou

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular