KOTA KINABALU: Anak-anak Sabah yang menetap dan menuntut ilmu di Wilayah Persekutuan Labuan diharap turut diberi perhatian dalam penyaluran biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan Yayasan Sabah.
Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh, berkata usaha memperluas peluang mendapatkan bantuan pendidikan itu antara perkara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Wilayah Persekutuan Labuan berharap sokongan tambahan dapat dipertimbangkan bagi membantu anak-anak Sabah, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Katanya, berdasarkan data jabatan, kira-kira 1,250 anak Sabah di Labuan masih tergolong dalam kategori berkenaan.

“Perbincangan yang berlangsung turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas peluang pendidikan menerusi sokongan dan bantuan bersesuaian, termasuk keutamaan mendapatkan biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dan Yayasan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, anak-anak Sabah di Labuan mempunyai potensi besar dalam bidang pendidikan dan wajar diberikan sokongan sewajarnya bagi membantu mereka mencapai kecemerlangan.
Justeru, pihaknya berharap bantuan tambahan dapat melengkapi sokongan sedia ada, sekali gus memastikan kebajikan serta peluang pendidikan golongan berkenaan terus terbela.



