KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia meneroka peluang memperkukuh kerjasama penyelidikan serta penerbitan ilmiah bagi meningkatkan perkongsian kepakaran akademik antara kedua-dua institusi.
Kerjasama itu antara perkara yang dibincangkan menerusi Seminar Antarabangsa UMS–UNAIR 2026 dan sesi perbincangan akademik selama dua hari anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS, baru-baru ini.
Dekan FSSK UMS, Profesor Dr Asmady Idris, berkata perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama akademik, termasuk pelaksanaan penyelidikan dan penerbitan ilmiah bersama.
Katanya, perkongsian kepakaran antara ahli akademik kedua-dua universiti berpotensi membuka ruang kepada penghasilan penyelidikan yang lebih meluas, khususnya dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.
Seminar berkenaan turut menampilkan empat pembentangan akademik oleh wakil UMS dan UNAIR yang menyentuh pelbagai isu berkaitan masyarakat, sejarah, sempadan dan perkembangan media.
Antara topik diketengahkan termasuk pembentukan keagamaan komuniti Madura Hindu, penghasilan karya sastera menerusi platform media sosial serta perspektif berkaitan sempadan Malaysia-Indonesia.
Perbincangan pada hari kedua pula memberi tumpuan kepada empat bidang kerjasama utama, termasuk penyelidikan dan penerbitan bersama, selain program ijazah berganda, mobiliti akademik serta pengajian pascasiswazah.
Inisiatif itu dijangka menjadi landasan kepada hubungan akademik lebih tersusun antara kedua-dua universiti, sekali gus memperluas jaringan penyelidikan rentas sempadan pada masa hadapan.



