KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) akan menyalurkan sumbangan kebajikan berjumlah RM200,000 hasil kutipan penajaan dan yuran penyertaan Kejohanan Golf Amal SEC 2026 yang berlangsung di Sutera Harbour Golf & Country Club pada 31 Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, RM150,000 akan disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Sabah, manakala baki RM50,000 akan diagihkan kepada badan kebajikan lain di negeri ini yang akan dikenal pasti kemudian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Ir Ts Adzmir Abd Rahman berkata, tanggungjawab membangunkan Sabah bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi dan infrastruktur, malah turut merangkumi usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, masih terdapat keluarga yang memerlukan bantuan untuk memenuhi keperluan asas, anak-anak yang memerlukan sokongan bagi meneruskan pendidikan serta golongan yang memerlukan bantuan untuk membina semula kehidupan selepas ditimpa musibah.
“Bantuan yang bermakna bermula dengan memahami keperluan mereka, disampaikan dengan menjaga maruah penerima dan diurus dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, kepercayaan yang diberikan oleh penaja dan peserta menerusi sumbangan itu merupakan amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Setiap sumbangan ialah amanah. Kami menghargai kepercayaan ini dan komited untuk memastikan sumbangan yang diterima diurus dengan bertanggungjawab serta disalurkan bagi tujuan kebajikan yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, SEC merakamkan penghargaan kepada penaja Platinum, Sepangar Bay Power Corporation Sdn Bhd; penaja Gold, Supreme LNG, Gamuda Berhad dan Sistem Konsult Sdn Bhd, selain semua penaja Silver, penyumbang serta pasukan yang mengambil bahagian dalam menjayakan kejohanan berkenaan.
Adzmir berkata, kerjasama itu mencerminkan peranan penting sektor korporat dalam membantu memenuhi keperluan masyarakat, dengan hubungan yang terjalin menerusi perniagaan dan sukan mampu diterjemahkan kepada manfaat lebih luas untuk rakyat Sabah.
Beliau berharap kerjasama seumpama itu dapat diteruskan bagi memperluas jangkauan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Semoga persahabatan yang dieratkan hari ini menjadi kekuatan untuk kita meringankan beban dan membuka peluang kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Kejohanan yang bertemakan “Swing with Purpose. Drive for Impact” itu menghimpunkan penaja, rakan perniagaan dan peserta bagi menyokong usaha kebajikan, selain mengeratkan hubungan menerusi sukan golf.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEC dalam menyantuni keperluan masyarakat dan memastikan pembangunan yang dilaksanakan turut memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Komitmen itu turut diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif SEC dalam bidang pendidikan, kebajikan dan alam sekitar yang dilaksanakan berdasarkan keperluan masyarakat setempat.



