HomeUtamaUMS rai kepelbagaian budaya menerusi 'International Night' 2026

UMS rai kepelbagaian budaya menerusi ‘International Night’ 2026

Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi penganjuran ‘International Night’ 2026 yang menghimpunkan komuniti universiti daripada pelbagai latar belakang negara dan budaya.

Program yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di sini itu dianjurkan bagi meraikan kepelbagaian budaya selain mengeratkan hubungan antara pelajar antarabangsa dengan warga universiti.

Bertemakan ‘Colours of Culture – Celebrating Diversity’, program berkenaan menjadi platform untuk memupuk persefahaman silang budaya, semangat perpaduan dan rasa kekitaan dalam kalangan komuniti kampus.

Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Pengantarabangsaan Global (PPPG) UMS, Profesor Madya Dr Wardatul Akmam Din berkata, pengantarabangsaan bukan sekadar tertumpu kepada peningkatan jumlah pelajar antarabangsa atau peluasan jaringan kerjasama dengan universiti luar negara.

Sebaliknya, katanya, usaha itu turut merangkumi penyediaan persekitaran pembelajaran yang inklusif, mesra dan mampu memenuhi keperluan pelajar daripada pelbagai latar belakang.

“Melalui program seperti ini kita bukan sahaja meraikan perbezaan budaya, malah membina jambatan persahabatan, mengukuhkan persefahaman dan mewujudkan rasa kekitaan dalam kalangan pelajar antarabangsa.

“Peranan kita adalah untuk memastikan mereka berasa diterima, disokong dan menjadi sebahagian daripada keluarga besar UMS,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan agenda pengantarabangsaan turut memerlukan komitmen bersama seluruh warga universiti termasuk fakulti, pusat tanggungjawab, staf dan pelajar.

Menurutnya, kerjasama berkenaan penting bagi memperluas peluang mobiliti, pembelajaran kolaboratif antarabangsa, penyelidikan bersama serta perkongsian kepakaran yang memberi manfaat kepada komuniti akademik.

Pada majlis itu, beberapa fakulti turut menerima anugerah sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan komitmen masing-masing dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan UMS.

Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) menerima ‘Internationalisation and Mobility Engagement Award’, manakala Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dianugerahkan ‘Global Engagement Impact Award’.

Selain itu, ‘Collaborative Online International Learning (COIL) Mobility Excellence Award’ turut diberikan kepada empat fakulti iaitu FPEP, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) serta Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL).

Pelaksanaan COIL membolehkan pelajar dan pensyarah menjalinkan kolaborasi dengan rakan antarabangsa menerusi platform digital, sekali gus meningkatkan kompetensi global, kemahiran komunikasi antara budaya dan pengalaman pembelajaran merentas sempadan.

Penganjuran International Night 2026 turut mencerminkan komitmen PPPG dalam menyokong kebajikan, proses penyesuaian dan pengalaman pembelajaran pelajar antarabangsa di universiti itu.

Usaha berkenaan dilaksanakan menerusi pengukuhan integrasi budaya, penyediaan bimbingan bersesuaian serta pembinaan hubungan lebih erat antara pelajar dengan komuniti kampus, selaras aspirasi UMS untuk mewujudkan persekitaran universiti yang terbuka, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

RELATED ARTICLES
Utama

Hujan berterusan dijangka landa Kudat, Sandakan dan Kinabatangan mulai Isnin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular