HomeUtamaPenjagaan warga emas berpotensi buka peluang pekerjaan kepada belia Sabah

Penjagaan warga emas berpotensi buka peluang pekerjaan kepada belia Sabah

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Sektor penjagaan warga emas berpotensi membuka peluang pekerjaan baharu kepada golongan belia di Sabah, termasuk di kawasan luar bandar, menerusi latihan dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bidang penjagaan warga emas perlu dilihat sebagai kerjaya profesional yang memerlukan kemahiran, kesabaran, pengetahuan serta sifat kasih sayang.

“Bidang ini wajar diberikan latihan dan pengiktirafan sebagai satu kerjaya bermakna yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada anak muda Sabah, termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persatuan Sokongan Penjagaan Sabah (PSPS) Gala VIVA! CareFest 2026 di ITCC Penampang, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, kerajaan bertanggungjawab menyediakan dasar, perkhidmatan, latihan serta jaringan keselamatan sosial bagi menyokong keperluan penjagaan warga emas, namun usaha itu turut memerlukan kerjasama keluarga dan komuniti.

Mengimbas pengalamannya membesar di kampung di Ranau, Masidi berkata, semangat menjaga dan membantu warga emas sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Sabah menerusi amalan mitatabang atau gotong-royong yang berteraskan sikap saling membantu.

Bagaimanapun, katanya, perubahan struktur keluarga serta penghijrahan golongan muda ke bandar untuk mencari pekerjaan menyebabkan sistem sokongan tradisional berkenaan semakin mencabar, khususnya apabila ibu bapa dan warga emas terus menetap di kampung.

“Perubahan struktur keluarga serta penghijrahan anak muda ke bandar untuk mencari pekerjaan menyebabkan sistem sokongan tradisional berkenaan semakin mencabar, khususnya apabila ibu bapa dan warga emas terus menetap di kampung,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik inisiatif PSPS dalam membangunkan perkhidmatan penjagaan yang lebih tersusun, termasuk memperkasa latihan serta pengiktirafan kepada golongan penjaga.

Masidi turut menegaskan bahawa kebajikan golongan penjaga juga perlu diberikan perhatian kerana mereka memerlukan sokongan, sama ada ketika menjalankan tanggungjawab secara profesional mahupun sebagai ahli keluarga.

“Oleh itu, kerajaan negeri berharap PSPS dapat menggabungkan nilai kemasyarakatan dengan pendekatan penjagaan profesional bagi memastikan warga emas terus menikmati kehidupan yang aktif, berdikari dan berkualiti,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS rai kepelbagaian budaya menerusi ‘International Night’ 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular