HomeUtamaTiga ditahan, syabu dirampas dalam Ops Tapis di Tawau

Tiga ditahan, syabu dirampas dalam Ops Tapis di Tawau

Read Time:2 Minute, 8 Second

TAWAU: Tiga individu termasuk seorang wanita dan seorang lelaki warga asing ditahan polis dalam Ops Tapis di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, tangkapan membabitkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun di Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik, serta dua lelaki yang bekerja sebagai buruh di Kampung Sri Aman dan Kampung Ice Box.

Katanya, wanita berkenaan ditahan pada pagi 5 November ketika sepasukan polis dari Balai Polis Bergosong yang diketuai Ketua Polis Balai (KPB) menjalankan Ops Tapis di kawasan sebuah rumah di Kampung Sungai Pukul.

Suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan untuk pemeriksaan sebelum polis memperkenalkan diri dan meminta dokumen pengenalan dirinya.

“Hasil pemeriksaan terhadap beg yang diserahkan suspek, pihak polis menemukan sebuah botol berwarna putih yang mengandungi 12 tiub plastik lutsinar pelbagai saiz berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 3.0 gram,” katanya dalam kenyataan.

Rosdi berkata, wanita itu kemudian ditahan dan kesemua bahan disyaki dadah bersama barangan berkaitan dirampas untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Sementara itu, dalam dua serbuan berasingan pada 4 November, polis menahan dua lelaki berusia 30 dan 40-an yang masing-masing bekerja sebagai buruh di Kampung Sri Aman, Batu 3, Jalan Apas dan Kampung Ice Box, antara jam 3 petang hingga 3.30 petang.

Dalam serbuan pertama di Kampung Sri Aman, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 40-an dan merampas satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat 0.07 gram.

“Dalam serbuan kedua di kawasan Kampung Ice Box pula, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun dan merampas dua paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki syabu seberat 0.17 gram,” katanya.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek lelaki itu positif amphetamine dan methamphetamine.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rosdi berkata, polis sedang mempergiat risikan bagi mengenal pasti rangkaian pembekal serta pihak lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa polis memandang serius sebarang kegiatan berkaitan pemilikan dan penyalahgunaan dadah serta akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di Tawau, termasuk penempatan di pulau-pulau.

Polis juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya menjauhi dadah dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah kepada polis bagi membantu usaha membanteras gejala berkenaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Penjagaan warga emas berpotensi buka peluang pekerjaan kepada belia Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular