KOTA KINABALU: Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang bakal bersara wajib.
Pelantikan itu berdasarkan senarai pertukaran pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (Bukit Aman), hari ini.
Menerusi senarai berkenaan, Victor yang sebelum ini berpangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) akan bertukar daripada Komander ESSCOM, Kementerian Dalam Negeri (KDN), ke jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
Beliau dijadualkan melapor diri selepas 11 November ini.
Pertukaran itu menyaksikan Victor mengambil alih kepimpinan Kontinjen Sabah daripada Jauteh yang bakal menamatkan perkhidmatan selepas lebih 32 tahun berkhidmat dalam pasukan polis.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Jauteh pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam PDRM sebelum diberi kepercayaan menerajui Kontinjen Sabah sebagai Pesuruhjaya Polis.
Dalam perkembangan sama, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sabah, Datuk Abdul Fuad Abdul Malek dilantik sebagai Komander ESSCOM yang baharu, menggantikan Victor.
Abdul Fuad sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sabah sebelum disenaraikan dalam pertukaran pegawai kanan PDRM berkenaan.



