HomeUtamaKampung Angkat MADANI KPDN dilancar di Kampung Sekalong

Kampung Angkat MADANI KPDN dilancar di Kampung Sekalong

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh Normimie Diun

KUALA PENYU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Sekalong, Menumbok sebagai sebahagian usaha kerajaan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata program yang diperkenalkan sejak 2024 itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, malah turut menekankan pengisian berasaskan keperluan komuniti melalui sesi libat urus bersama penduduk serta penyediaan perkhidmatan bergerak oleh pelbagai agensi kerajaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Kampung Angkat MADANI KPDN di Kampung Sekalong, Menumbok, di sini, hari ini.

Menurutnya, bagi tahun 2026, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM200 juta bagi melaksanakan Program Kampung Angkat MADANI membabitkan 500 kampung terpilih di seluruh negara, dengan setiap kementerian dan agensi menerima peruntukan RM500,000 untuk melaksanakan projek pembangunan di kampung angkat masing-masing.

Katanya, Kampung Sekalong dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI KPDN bagi tahun ini berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan, termasuk tahap liputan kemudahan asas yang masih di bawah 50 peratus.

“Untuk rekod, Kampung Angkat MADANI KPDN bagi tahun 2025 dilaksanakan di Mukim Tikam Batu, Kedah, manakala bagi tahun 2024 di Mukim Kaiduan, Papar,” katanya.

Armizan berkata, hasil sesi libat urus bersama penduduk dan pemimpin tempatan, lima projek fizikal dikenal pasti untuk dilaksanakan dengan sasaran siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini.

Projek berkenaan ialah pembinaan dewan serba guna terbuka, menaik taraf jalan kampung, pembinaan dan pembaikan pembetung, pemasangan lampu solar serta pembinaan mercu tanda Kampung Sekalong.

Beliau berkata, selain Program Kampung Angkat MADANI, KPDN turut melaksanakan Program Santuni MADANI yang berkonsepkan “Satu Pemimpin, Satu Kampung” seperti yang dicetuskan Perdana Menteri.

Katanya, ketika ini terdapat tujuh kampung di bawah Program Santuni MADANI KPDN melibatkan Sabah, Kedah, Pahang dan Perak yang diterajui Menteri, Timbalan Menteri, pengurusan tertinggi serta agensi di bawah kementerian.

“Program ini bertujuan memperkukuh budaya kepedulian dan semangat kekitaan terhadap kampung masing-masing, di samping membantu meningkatkan potensi kampung serta memperkasa keupayaan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran Kampung Angkat MADANI KPDN di Kampung Sekalong mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas dan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Antara pengisian program ialah Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM), perkhidmatan kerajaan seperti saringan kesihatan, advokasi kepenggunaan serta aktiviti kemasyarakatan termasuk sesi interaksi bersama penduduk dan kenduri rakyat.

RELATED ARTICLES
Utama

Hospital Gantian Ranau bakal tingkat akses perkhidmatan kesihatan berkualiti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular