TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan minyak sawit mentah (Crude Palm Oil – CPO) tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah premis di Kampung Nasib Kita, Balung, di sini, kelmarin.
Dalam serbuan itu, dua individu ditahan bagi membantu siasatan.
Turut dirampas sebuah lori 38 tan yang membawa kira-kira 30,000 liter CPO selain beberapa tong dram berisi CPO, dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan melebihi RM400,000.
PPM berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 5(1)(d), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 kerana disyaki menyimpan minyak sawit tanpa lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang serta melindungi kepentingan industri sawit negara,” menurut kenyataan itu.




