KOTA KINABALU: Program Simulasi Haji Cilik diharap akan terus berkembang agar dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah kaya dengan ilmu agama.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, berkata program ini bukan sekadar aktiviti tahunan semata-mata tetapi ia adalah satu pembelajaran secara praktikal yang memberi peluang dan pengalaman kepada kepada anak-anak memahami rukun-rukun haji.
“Ini termasuklah mengenali tempat-tempat suci serta menghayati nilai kesabaran, disiplin, pengorbanan, kerjasama dan kasih sayang sesama insan. Program ini berjaya menggabungkan pembelajaran, pengalaman dan penghayatan dalam satu pendekatan yang sangat kreatif.
“Inilah contoh pendidikan yang bukan sahaja mengajar ilmu, tetapi membentuk jiwa dan akhlak anak-anak. Lebih membanggakan, usaha murni ini telah berjaya menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai tadika dan sekolah rendah Islam serta keluarga dari seluruh Sabah.
“Ini membuktikan bahawa program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat Islam di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Program Simulasi Haji Cilik Kali Ke-9 Tahun 2026, di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini pada Sabtu.

Beliau berharap pengalaman berharga hari ini menjadi penyuntik rasa cinta yang mendalam kepada agama dan membina impian murni untuk menunaikan ibadah haji yang sebenar suatu hari nanti.
“Syabas dan tahniah Persatuan Tadika Islam Swasta Sabah (PERTIS) atas penganjuran program yang begitu istimewa dan memberi manfaat ini kepada semua khususnya anak-anak jemaah cilik kita,” katanya.



