HomeSukanSEDCO sasar raih pingat dalam tiga acara di Sukan GEMAPUTERA 2026

SEDCO sasar raih pingat dalam tiga acara di Sukan GEMAPUTERA 2026

Read Time:2 Minute, 5 Second

KOTA KINABALU : Kontinjen Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) menyasarkan untuk membawa pulang pingat dalam sekurang-kurangnya tiga daripada empat acara yang disertai pada Sukan GEMAPUTERA Ke-18 Tahun 2026.

Ketua Kontinjen SEDCO, Azrul Ahmad, berkata sasaran itu dibuat berdasarkan persiapan rapi yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu bagi memastikan atlet SEDCO mampu memberikan saingan terbaik.

“Insya-Allah, daripada empat sukan yang kita sertai daripada tujuh sukan yang dipertandingkan, kita mengharapkan sekurang-kurangnya tiga sukan akan membawa pulang pingat.

“Kita akan cuba yang terbaik dan latihan telah pun dilaksanakan sejak tahun lepas. Insya-Allah kita mampu mencapai sasaran tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jersi dan Bendera Kontinjen SEDCO di Wisma SEDCO, di sini, pada Jumaat.

Majlis penyerahan disempurnakan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO Datuk Ar. James Wong.

Azrul berkata, SEDCO akan bertanding dalam empat acara, iaitu boling, karom, golf dan futsal, daripada keseluruhan tujuh acara yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan berkenaan.

Katanya, Sukan GEMAPUTERA menghimpunkan penyertaan daripada semua Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (PKEN) di seluruh Malaysia, selain penyertaan daripada UDA Holdings Sdn. Bhd.

“Semua perbadanan pembangunan ekonomi negeri akan menyertai temasya ini termasuk dari Sarawak, Kedah, Selangor dan UDA Holdings. Keseluruhannya terdapat 15 kontinjen yang akan bertanding,” katanya.

Mengulas mengenai pencapaian edisi lalu, Azrul berkata SEDCO menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan berdasarkan sistem kutipan mata, meskipun tidak berjaya meraih pingat emas.

“Tahun lalu kita berada di kedudukan nombor empat keseluruhan berdasarkan sistem mata. Kali ini kita berharap dapat sekurang-kurangnya mengekalkan kedudukan tersebut atau memperbaikinya ke tempat ketiga,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui cabaran kali ini agak besar memandangkan SEDCO hanya mengambil bahagian dalam empat daripada tujuh acara yang dipertandingkan, sekali gus memberi kesan terhadap kutipan mata keseluruhan.

Namun begitu, beliau optimis semangat berpasukan, disiplin dan persiapan rapi yang dilakukan akan menjadi kekuatan utama kontinjen SEDCO untuk bersaing dengan kontinjen lain.

“Kita mungkin tidak menyertai semua acara, tetapi kita yakin atlet yang dipilih mampu memberikan aksi terbaik dan mengharumkan nama SEDCO dalam acara yang disertai,” katanya.

Terdahulu, James mengucapkan tahniah kepada semua anggota kontinjen yang terpilih mewakili SEDCO selain menyifatkan pemilihan tersebut sebagai satu penghormatan atas komitmen, disiplin dan dedikasi yang telah ditunjukkan oleh setiap peserta.

“Menjadi wakil SEDCO adalah satu keistimewaan. Ia merupakan pengiktirafan terhadap komitmen, disiplin dan dedikasi yang telah anda tunjukkan. Tahniah dan syabas kepada semua,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua atlet supaya sentiasa mengutamakan semangat berpasukan sepanjang kejohanan, tanpa mengira acara yang disertai.

Pada edisi kali ini, kontinjen SEDCO akan bersaing dalam empat acara sukan, iaitu karom, futsal, golf dan boling.

RELATED ARTICLES
Sukan

Liga Super : Sabah FC perkenal lima import baharu musim 2026/2027

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular