KOTA KINABALU: Kejayaan cemerlang 180 pelajar Sabah dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Malaysian University English Test (MUET) membuktikan anak negeri ini berupaya bersaing di peringkat antarabangsa.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim berkata, pencapaian itu mencerminkan kemampuan pelajar Sabah untuk bersaing dengan sesiapa sahaja tanpa mengira lokasi atau latar belakang.
Beliau berkata, standard akademik STPM yang diiktiraf di peringkat global serta penguasaan bahasa Inggeris menerusi MUET menjadi asas kukuh kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan menembusi pasaran pekerjaan antarabangsa.
“Kejayaan yang dicapai merupakan hasil usaha yang konsisten, kesungguhan yang tidak pernah luntur serta keberanian untuk terus mencabar kemampuan diri.

“Namun, kita juga harus sedar bahawa kejayaan seseorang pelajar tidak pernah berdiri sendirian. Di belakang setiap pelajar cemerlang, berdiri seorang guru yang tidak pernah jemu membimbing.
“Ada guru yang sanggup meluangkan masa di luar waktu persekolahan, mengadakan kelas tambahan, memberi bimbingan secara individu dan sentiasa percaya akan potensi anak didiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan STPM dan MUET (MAKEPS) anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Hanafiah berkata, kekuatan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kualiti modal insan yang berjaya dibangunkan.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya pelaburan dalam sektor pendidikan terus diperkasakan bagi memastikan setiap anak Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang.
“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki integriti, daya fikir kritis, kemahiran berkomunikasi serta semangat perpaduan yang tinggi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para pelajar agar tidak cepat berpuas hati dengan kejayaan yang diraih, sebaliknya menjadikannya sebagai titik permulaan kepada perjalanan yang lebih besar dalam kehidupan.
“Teruslah menuntut ilmu dengan rendah hati. Kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui sejauh mana kita melangkah, tetapi sejauh mana ilmu dan kebolehan yang dimiliki dimanfaatkan untuk keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berharap kejayaan yang diraikan pada majlis itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan melalui disiplin, ketekunan serta sokongan padu daripada keluarga dan guru.
Pada majlis sama, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Kota Kinabalu, Ahmad Mursyied Umair Darwis menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Aliran Sains Sosial.
Sementara itu, Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu dan Kolej Tingkatan Enam Tawau masing-masing menerima Anugerah Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Kolej Tingkatan Enam.



