KOTA KINABALU: Persatuan Wanita Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (PeWaniS) terus memperkukuh peranannya sebagai platform memperkasa wanita dalam sektor pendidikan menerusi pelbagai program pembangunan kapasiti, kebajikan dan khidmat masyarakat sejak ditubuhkan 20 tahun lalu.
Pengerusinya, Datin Nor’aini Bahari berkata, sepanjang dua dekad penubuhannya, PeWaniS bukan sahaja menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli, malah aktif melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada warga pendidikan dan masyarakat.

Menurut beliau, persatuan itu komited menganjurkan pelbagai bengkel, seminar dan ceramah yang memfokuskan kepada bidang pendidikan, kesihatan, kekeluargaan serta pembangunan diri bagi meningkatkan kompetensi dan kesejahteraan ahli.
“PeWaniS sentiasa komited menganjurkan bengkel, seminar dan ceramah berkaitan pendidikan, kesihatan, kekeluargaan serta pembangunan diri.
“Malah, ketika pandemik COVID-19, persatuan turut menghulurkan bantuan kepada murid, guru dan keluarga yang terjejas menerusi sumbangan bakul makanan, bahan bacaan serta bantuan kewangan.
“Kami turut memperluas jaringan kerjasama melalui lawatan kerja ke beberapa negara bagi berkongsi amalan terbaik dalam bidang pendidikan, selain bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menjayakan program yang memberi manfaat kepada ahli dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 PeWaniS yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin yang juga Penaung PeWaniS.
Pada majlis itu, Toh Puan Faridah turut menyampaikan beberapa anugerah sebagai penghargaan kepada individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan kepimpinan di negeri ini.
Antara penerima ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin yang menerima Anugerah Khas PeWaniS Pemimpin Berwibawa Negeri Sabah 2026, manakala Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Datuk Tah Nia Jaman menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan PeWaniS Negeri Sabah 2026.



