HomeUtamaMAHA Labuan 2026: Ambuyat, ikan ampap jadi tarikan di gerai pameran SAFMA

MAHA Labuan 2026: Ambuyat, ikan ampap jadi tarikan di gerai pameran SAFMA

Read Time:1 Minute, 37 Second

LABUAN: Hidangan tradisi Sabah iaitu ambuyat bersama ikan ampap menjadi antara tarikan utama di gerai Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) sempena program Road to MAHA Labuan 2026, sekali gus menjadi platform memperkenalkan Program Ikan Rakyat Sabah (IRS) kepada pengunjung.

Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar, berkata penyertaan syarikat itu bukan sahaja mempromosikan makanan warisan Sabah, malah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai Program Ikan Rakyat Sabah yang menyediakan bekalan ikan segar, berkualiti dan pada harga berpatutan.

Beliau berkata, program berkenaan turut menyokong agenda keterjaminan makanan negeri, meningkatkan pendapatan nelayan tempatan serta merancakkan pembangunan industri perikanan Sabah.

Menurutnya, selain ikan segar, SAFMA turut mempamerkan pelbagai produk makanan laut sejuk beku, produk hiliran serta hidangan tradisi Sabah seperti ambuyat bersama ikan ampap dan pais ikan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Pameran itu turut dikunjungi Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, yang melawat gerai SAFMA bagi meninjau pelaksanaan Program Ikan Rakyat Sabah serta pelbagai produk yang dipamerkan.

Dalam lawatan itu, Jamawi turut menikmati hidangan ambuyat bersama ikan ampap yang disediakan menggunakan Ikan Rakyat Sabah dan menzahirkan penghargaan terhadap usaha SAFMA mempromosikan makanan warisan Sabah seiring usaha memperkenalkan hasil laut tempatan yang berkualiti, berkhasiat dan mampu milik kepada rakyat.

Burhan berkata, kehadiran Jamawi mencerminkan sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap usaha memperkasakan industri perikanan serta mempromosikan hasil laut Sabah ke pasaran yang lebih luas.

“Platform seperti Road to MAHA bukan sahaja memperkenalkan produk tempatan kepada pengguna, malah membuka peluang kerjasama strategik yang mampu memperkukuh ekosistem industri perikanan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang program yang berlangsung dari 23 hingga 26 Julai lalu, pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi masakan, menikmati pelbagai hidangan berasaskan makanan laut SAFMA serta mendapatkan maklumat mengenai Program Ikan Rakyat Sabah dan inisiatif yang dilaksanakan syarikat itu.

Burhan berkata, penyertaan SAFMA pada Road to MAHA Labuan 2026 membuktikan komitmen syarikat untuk terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan, meningkatkan nilai tambah hasil perikanan serta mempromosikan keunikan makanan tradisi Sabah kepada masyarakat dan pelancong.

RELATED ARTICLES
Utama

Enakmen baharu perkukuh pentadbiran akar umbi, Ketua Kampung dan JKKK diminta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular