Oleh Wan Azrain Adnan
Fenomena El Nino yang bakal melanda dijangka akan memberi kesan negatif kepada negara. Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dilaporkan berkata kesan El Nino dijangka lebih ketara pada penghujung tahun 2026 dan memuncak pada awal tahun 2027, dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius, dari bulan Februari hingga Mei 2027.
Ketika fenomena El Nino, antara kawasan yang sering kali merekodkan suhu tinggi ialah Perlis, Kedah, utara Perak, serta kawasan pedalaman Kelantan dan Pahang. Manakala, Johor dan Melaka pula dijangka merekodkan pengurangan taburan hujan antara 20 – 40%.
Sejak tahun 1980an, akibat pemanasan global, analisa suhu Malaysia menunjukkan peningkatan suhu sebanyak 0.19 darjah Celsius bagi setiap dekad.
Tambahan lagi, beliau menegaskan pengurangan hujan dan peningkatan suhu berpotensi mencetus jerebu rentas sempadan, menjejaskan takungan air di empangan, meningkatkan risiko kebakaran hutan, serta menjejaskan hasil pertanian dan ternakan.
Sekiranya hasil pertanian dan ternakan negara terjejas, agenda keterjaminan makanan sudah pasti akan terjejas. Apabila bekalan tempatan berkurangan, Malaysia terpaksa mengimport bagi memenuhi keperluan rakyat. Situasi ini semakin meruncing kerana Malaysia sudah pun bergantung tinggi kepada import makanan ketika ini.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, pada tahun 2024, nilai import agromakanan negara telah mencapai RM 93.72 bilion. Daripada jumlah ini, nilai import item utama adalah: beras (RM 5.02 bilion), daging lembu/ kerbau (RM 3.67 bilion), ikan segar, sejuk dan beku (RM 2.93 bilion), bawang (RM 2.91 bilion), daging ayam/ itik (RM 2 bilion), jagung bijian (RM 1.92 bilion), ubi kentang (RM 1.73 bilion).
Menariknya, tahap keterjaminan makanan negara dilaporkan semakin mengukuh. Laporan Awalan Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia, yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada penghujung bulan Mei 2026, menunjukkan skor Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia (IKMM) telah meningkat daripada 54.5 (2023) kepada 61.5 (2024).
Malah, sepanjang dua belas tahun (2013 – 2024), skor IKMM telah melonjak daripada 36.2 (2013) kepada 61.5.
Fakta menarik. Indeks Keterjaminan Makanan Malaysia (IKMM) merangkumi empat dimensi dan dua puluh lima indikator:
| Dimensi | Maklumat |
| Ketersediaan: tujuh indikator | Mengukur keupayaan sistem makanan negara dalam memastikan bekalan makanan yang mencukupi melalui pengeluaran domestik, perdagangan makanan, kecekapan rantaian bekalan serta ketersediaan sumber pengeluaran |
| Kebolehcapaian: enam indikator | Merujuk keupayaan individu dan isi rumah untuk memperoleh makanan yang mencukupi melalui kemampuan ekonomi serta akses kepada infrastruktur yang menyokong kelancaran sistem makanan |
| Penggunaan: tujuh indikator | Mengukur keupayaan individu untuk menggunakan dan memanfaatkan makanan yang tersedia bagi memenuhi keperluan pemakanan serta mencapai tahap kesihatan dan kesejahteraan yang baik |
| Kestabilan: lima indikator | Mengukur keupayaan sistem makanan negara untuk mengekalkan bekalan makanan yang mencukupi secara konsisten dalam menghadapi pelbagai gangguan seperti perubahan iklim, bencana alam dan faktor persekitaran |
Pada tahun 2024, dimensi Ketersediaan telah merekodkan skor 50.0, menurun daripada 54.3 (2023). Ini merupakan skor terendah di kalangan empat dimensi. Antara lain, penurunan ini disebabkan oleh penurunan indikator Import Pertanian Makanan Utama (86.8 kepada 43.4) dan Kerugian Lepas Tuai (43.5 kepada 22.1).
Sepanjang tahun 2013 – 2024, skor dimensi Ketersediaan turun naik, berada di antara 38.6 – 54.3.
Bagi dimensi Kebolehcapaian, skor telah melonjak daripada 59.6 (2023) kepada 79.9. Ini merupakan skor tertinggi di kalangan empat dimensi. Pada tahun 2024, semua enam indikator dimensi Kebolehcapaian telah meningkat. Antaranya, Inflasi Kumpulan Makanan (30.3 kepada 84.1), Nilai Gaji & Upah Penengah Bulanan (69.5 kepada 81.9), Perbelanjaan Isi Rumah Bagi Kumpulan Makanan (63.7 kepada 75.8).
Memberangsangkan, sepanjang tahun 2013 – 2024, skor dimensi Kebolehcapaian telah merekodkan peningkatan besar lebih tiga kali ganda, daripada 22.8 (2013) kepada 79.9.
Manakala, dimensi Penggunaan pula telah merekodkan skor 50.4, berbanding 48.5 (2023). Sepanjang tempoh masa 2013 – 2024, dimensi Penggunaan telah merekodkan penurunan daripada 56.7 kepada 50.4.
Seterusnya, dimensi Kestabilan turut merekodkan peningkatan skor yang ketara, daripada 40.2 (2023) kepada 54.6. Antara skor indikator yang telah meningkat ialah Penggunaan Per Kapita (22.3 kepada 77.5) dan Suhu Minimum (50.5 kepada 51.4). Sebaliknya, skor beberapa indikator telah menurun, antaranya: Bilangan Kejadian Banjir (49.5 kepada 9.9) dan Anomali Taburan Hujan (61.0 kepada 28.7).
Sepanjang tahun 2013 – 2024, skor dimensi Kestabilan telah meningkat daripada 42.7 kepada 54.6. Namun begitu, skor dimensi ini kerap turun naik secara mendadak. Ini menggambarkan situasi yang volatile dan berlaku banyak perubahan yang menjejaskan skor.
Ironiknya, tatkala skor IKMM telah meningkat dan memberi gambaran tahap keterjaminan makanan negara yang semakin kukuh, nilai import makanan negara turut meningkat. Membimbangkan, sepanjang tempoh masa 7 tahun (2018 – 2024) sahaja, nilai import makanan negara telah melonjak 87%, daripada RM 50.173 bilion (2018) kepada RM 93.72 bilion (2024).
Pada masa sama, Kadar Sara Diri (SSR) banyak item makanan utama masih rendah. Sebagai contoh, beras yang merupakan makanan ruji rakyat Malaysia, telah merekodkan penurunan SSR yang ketara sepanjang tempoh masa satu dekad, daripada 73.2% (2015) kepada 52.9% (2024).
Manakala, pada tahun 2024, SSR bagi lain-lain item makanan adalah: bawang kecil (0.01%), daging lembu/ kerbau (16.8%), cili (35.8%), susu segar (66.7%).
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan kepada import. Antaranya, sasaran SSR bawang merah kecil (30%) menjelang tahun 2030, SSR daging lembu (50%) menjelang tahun 2030, SSR jagung bijian (30%) menjelang tahun 2040.
Sementara itu, pada awal bulan Julai 2026, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dilaporkan berkata Kerajaan Malaysia mensasarkan pengurangan 50% kebergantungan kepada import makanan dalam tempoh masa tiga dekad. Sasaran ini terbahagi kepada tiga peringkat: pengurangan 15% menjelang tahun 2030, 30% menjelang tahun 2040 dan 50% menjelang tahun 2050.
Sasaran berkenaan amat mencabar, memandangkan trend peningkatan nilai import makanan negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi, fenomena alam seperti El Nino dengan panas yang melampau dan taburan hujan yang sedikit, bukan sahaja boleh merencatkan usaha kerajaan mencapai sasaran berkenaan. Bahkan boleh menyebabkan kebergantungan lebih tinggi kepada import makanan.
Hakikatnya, El Nino ialah fenomena semula jadi yang tidak boleh dikawal dan boleh menjana kesan negatif yang signifikan. Justeru itu, negara mesti senantiasa bersedia dengan perancangan yang mampan dan tersusun untuk jangka masa panjang. Ini termasuklah menyediakan stok simpanan makanan yang mencukupi untuk tempoh masa yang lebih lama dan menghasilkan benih pertanian yang lebih tahan lasak.



