HomeUtamaSabah Perlu Seimbangkan Pembangunan Sumber Air dan Pemulihan Paip

Sabah Perlu Seimbangkan Pembangunan Sumber Air dan Pemulihan Paip

Read Time:2 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Sabah perlu melaksanakan pembangunan sumber air baharu dan pemulihan rangkaian agihan secara serentak bagi menangani krisis bekalan air serta kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi.

Bekas Pengerusi Association of Consulting Engineers Malaysia (ACEM) Cawangan Sabah, Ir. Fung Yin Khung, berkata kedua-dua pendekatan tersebut sama penting dan perlu dimasukkan dalam perancangan strategik bekalan air negeri.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Plenari II bertajuk  Strategic Water Supply Planning & Innovative Water Technologies  sempena Plumbing Asia 2026 Conference & Expo baru-baru ini.

Menurutnya, pembangunan sumber air penting bagi memastikan bekalan mentah yang mencukupi, termasuk ketika aliran sungai berada pada paras rendah semasa musim kemarau.

“Kita perlu mengetahui lokasi sumber air dan kaedah terbaik untuk mengabstraknya.

Dalam iklim tropika, aliran sungai boleh berubah dengan ketara daripada keadaan banjir kepada paras yang sangat rendah dan kadangkala tidak mencukupi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Sabah perlu mempertimbangkan kaedah alternatif seperti takungan luar sungai atau off-river storage bagi meningkatkan jaminan bekalan.

Pada masa sama, usaha menambah sumber air sahaja tidak mencukupi sekiranya sebahagian besar air terawat terus hilang sebelum sampai kepada pengguna.

Dengan kadar NRW sekitar 50 peratus—atau kira-kira 45 peratus di kawasan Kota Kinabalu, hampir separuh daripada air terawat dipercayai hilang melalui kebocoran paip, kecurian air dan beberapa faktor lain dalam sistem agihan.

“Setiap liter air yang kita hasilkan, mungkin hanya kira-kira 50 peratus sampai kepada pengguna. Bakinya hilang daripada sistem,” katanya.

Ir. Fung turut membangkitkan isu sambungan tidak sah yang dikaitkan dengan penduduk tanpa dokumen sebagai antara penyumbang kepada kadar NRW di Sabah.

Menurutnya, perkara itu perlu ditangani secara realistik dan menyeluruh kerana golongan berkenaan tetap memerlukan akses kepada air bagi memenuhi keperluan asas.

“Jika kerangka perundangan tidak membolehkan air dibekalkan kepada mereka, persoalannya ialah dari mana mereka akan mendapatkan air. Keadaan ini boleh mendorong mereka mencari jalan untuk mengambil air daripada sistem,” katanya.

Beliau berkata isu tersebut perlu diberikan perhatian dalam perancangan bekalan air, selain langkah teknikal seperti pengesanan kebocoran, penggantian paip lama dan pemantauan penggunaan air.

Penubuhan zon pemantauan daerah atau District Metered Zones (DMZ) juga boleh membantu pihak berkuasa mengenal pasti kawasan bermasalah serta menentukan tindakan pemulihan yang perlu diberikan keutamaan.

Sesi berkenaan menghimpunkan pakar dari Malaysia dan China untuk berkongsi pandangan mengenai perancangan strategik bekalan air, teknologi air inovatif dan pengurusan air mampan.

Antara tokoh yang mengambil bahagian ialah Pengarah Institut Penyelidikan Teknikal Beijing Waterworks Group Co. Ltd., Prof. Ir. Li Yuxian, bersama pemimpin industri air dan kejuruteraan Malaysia.

Penganjuran sesi tersebut turut memperkukuh kerjasama antarabangsa dan membuka ruang kepada pertukaran kepakaran teknikal dalam usaha membangunkan sistem bekalan air yang lebih cekap, berdaya tahan dan mampan.

RELATED ARTICLES
Utama

Mahasiswa Sabah Dinobat Sebagai Tokoh Kepimpinan Siswa UPSI 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular