HomeUtamaRCI Tabung Haji : Dua Bekas Pegawai Kanan Syarikat Milik Badan Berkanun...

RCI Tabung Haji : Dua Bekas Pegawai Kanan Syarikat Milik Badan Berkanun Ditahan SPRM

Read Time:1 Minute, 8 Second

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua bekas pegawai kanan sebuah syarikat milik badan berkanun bagi membantu siasatan berhubung pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.

Menurut sumber, kedua-dua individu terbabit ialah bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) berusia 68 tahun dan bekas ketua pegawai kewangan (CFO) berusia 60 tahun.

Mereka ditahan kira-kira jam 6.30 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Bagaimanapun, kedua-duanya dibebaskan pada malam yang sama atas faktor kesihatan. Mereka dijadualkan hadir semula pada jam 10 pagi ini bagi meneruskan proses rakaman percakapan.

Siasatan berkenaan dipercayai tertumpu kepada dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan tersebut.

Penahanan itu dibuat susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyemak dan meneliti dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji. Laporan berkenaan didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM semalam turut menahan seorang bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah kerana disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih.

Seorang pengarah syarikat reka bentuk juga ditahan kerana disyaki memberikan rasuah. Kedua-dua penahanan itu dibuat hasil siasatan pasukan khas terhadap laporan RCI yang sama.

— Bernama

RELATED ARTICLES
Utama

‘Bailey Bridge’ di Tanjung Lipat siap dalam tempoh dua hingga tiga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular