HomeUtamaJIM Sabah pindahkan 4,447 PATI ke negara asal setakat ini

JIM Sabah pindahkan 4,447 PATI ke negara asal setakat ini

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah telah memindahkan seramai 4,447 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal masing-masing setakat ini selepas mereka selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan yang sah.

JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, seramai 2,891 orang adalah warganegara Filipina, diikuti 1,314 orang warganegara Indonesia, 113 orang warganegara Pakistan, 92 orang warganegara China, 18 orang warganegara Vietnam dan 19 orang lagi terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan lain.

Menurut JIM Sabah, semua tahanan terbabit telah menjalani hukuman yang ditetapkan sebelum dibenarkan pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), selain memiliki ‘Travel Documents’ (TD) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses penghantaran pulang.

Dalam perkembangan terbaharu, JIM Sabah turut melaksanakan pemindahan membabitkan 42 warga Filipina dari Depot Imigresen Tawau ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial melalui Pelabuhan Lahad Datu.

Kesemua tahanan yang dipindahkan itu terdiri daripada 36 lelaki dewasa dan enam perempuan dewasa berusia antara 22 hingga 58 tahun.

Pada masa sama, JIM Sabah menegaskan akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen yang sah.

Menurut kenyataan itu, majikan yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara serta sebatan bagi kesalahan melindungi atau bersubahat dengan PATI.

JIM Sabah turut menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap kehadiran PATI di kawasan masing-masing dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji mereka. 

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan kepada Jabatan Imigresen melalui saluran rasmi bagi membantu memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang imigresen di negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

KPDN Tawau rampas 650 liter diesel disyaki diseleweng

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular