HomeUtamaKPDN Tawau rampas 650 liter diesel disyaki diseleweng

KPDN Tawau rampas 650 liter diesel disyaki diseleweng

Read Time:1 Minute, 23 Second

TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Tawau berjaya merampas 650 liter minyak diesel yang disyaki diseleweng selepas menerima satu kes serahan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau.

KPDN Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, rampasan itu dibuat di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ulu Brantian kira-kira jam 8.14 malam dan membabitkan 650 liter diesel yang disimpan di dalam sebuah tangki jenis IBC Tank.

“Turut dirampas ialah sebuah pam air berkuasa 2Hp serta hos paip minyak sepanjang kira-kira 27 meter yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemindahan bahan api.

” Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM20,000,” menurut kenyataan itu di sini.

Susulan rampasan itu, KPDN Tawau membuka satu kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang berkaitan barang kawalan.

KPDN Sabah menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terbabit dalam kegiatan penyelewengan barang kawalan.

Menurut kementerian itu, pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, termasuk denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama melibatkan individu, manakala kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya memperuntukkan denda sehingga RM5 juta jika disabitkan.

KPDN turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam usaha membanteras penyelewengan barang kawalan serta memastikan undang-undang dikuatkuasakan secara berkesan.

Pada masa sama, orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran aduan rasmi KPDN bagi membantu usaha penguatkuasaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis tumpas ‘Gang Andy’, selesai 10 kes curi rim kenderaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular