KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Dato’ Mohd. Shamsul Nizam Abdul Wahid memfailkan saman fitnah terhadap seorang individu, Jufazli Shi Ahmad, di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu susulan dakwaan penyebaran dua video di media sosial yang didakwa mengandungi pelbagai kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau.
Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan itu difailkan pada 23 Julai lalu bagi mendapatkan pembelaan undang-undang berhubung dakwaan yang disifatkan sebagai tidak benar dan menjejaskan reputasinya.
Mohd. Shamsul berkata, antara tuduhan yang terkandung dalam video berkenaan ialah dakwaan berkaitan penggunaan gelaran profesional IR, pemalsuan dokumen serta dakwaan bahawa beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
“Saya ingin menegaskan bahawa segala tuduhan yang dibuat adalah tidak benar dan tidak berasas. Saya masih berkhidmat sebagai penjawat awam dan tidak pernah dibuang kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, melalui peguamcaranya daripada Tetuan Effendi & Co, Encik Effendi Othman dan Khalid Murshidi, beliau turut memperoleh Perintah Injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Ogos 2026.
Menurutnya, mahkamah mengarahkan individu berkenaan mengeluarkan kedua-dua video tersebut daripada semua platform media sosial serta melarangnya daripada terus menyiarkan, mengulas atau membenarkan penyebaran kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.
Mohd. Shamsul berkata, tindakan undang-undang itu diambil bagi mempertahankan nama baik dan reputasinya selain memastikan perkara berkenaan diselesaikan mengikut lunas perundangan.
“Saya percaya kepada proses undang-undang dan memohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi lanjut memandangkan perkara ini kini di bawah tindakan mahkamah,” katanya.
Kes berkenaan kini sedang dalam proses perundangan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.



